26.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Malaysia harap ketegangan di Asia Barat tidak memuncak – Anwar

Mesti Baca

MALAYSIA berpendirian bahawa semua pihak harus memainkan peranan untuk memastikan ketegangan di Asia Barat tidak terus memuncak demi kepentingan dan keamanan sejagat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak mesti berusaha untuk mencapai penyelesaian dengan menamatkan pertelingkahan di rantau tersebut.

Beliau menegaskan, sebarang jalur penyelesaian yang dipilih tidak akan berkekalan sekiranya keganasan yang sedang berlaku ketika ini tidak ditamatkan dalam kadar segera.

“Walau bagaimanapun, Malaysia kekal teguh dengan pendiriannya untuk bersama dengan warga Palestin yang terus menanggung derita dari kemelut ini.

“Sekarang adalah ketikanya untuk semua pihak memainkan peranan dalam mendesak untuk menamatkan ketegangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum itu Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta pegawai tertinggi kerajaan bagi membincangkan situasi terkini di Asia Barat.

Advertisements

Anwar berkata, kerajaan kini memantau rapat perkembangan tersebut dan juga kedudukan pasaran kewangan, termasuk potensi dampak ke atas Malaysia.

Katanya, kerajaan akan bertindak dengan bijaksana bagi memperkukuh kestabilan ekonomi dan kewangan negara termasuk mengambil kira sebarang faktor yang mungkin memberi kesan kepada rakyat Malaysia.

Semalam, Iran melancarkan berpuluh-puluh dron dan peluru berpandu di wilayah diduduki Israel itu sekali gus berkemungkinan mencetuskan ketegangan besar antara seteru rantau itu.

Pelancaran dron yang dipercayai buatan Iran, Shahed-136 telah disahkan oleh tentera Israel dan media berkaitan negara Iran, Press TV.

Sementara itu Anwar berkata, serangan yang dilancarkan Iran adalah tindak balas yang berpunca daripada serangan biadab zionis Israel ke atas kedutaan negara Islam itu di Damsyik, Syria baru-baru ini.

“Ini tentunya adalah pelanggaran yang nyata terhadap hukum dan undang-undang antarabangsa,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan