BULAN Ramadan bukan sekadar tentang puasa dari terbit fajar hingga matahari terbenam.
Ia adalah tempoh yang mana individu muslim berusaha untuk meningkatkan kesedaran spiritual, empati dan rasa syukur kepada Allah SWT.
Malangnya, dalam usaha untuk memenuhi keperluan makanan semasa berbuka puasa, seringkali kita lupa akan nilai-nilai ini dan terjerumus dalam pembaziran makanan, tenaga dan sumber semasa bulan yang mulia ini.
Pembaziran makanan merupakan isu serius yang perlu ditangani dengan berkesan, terutamanya dalam konteks Ramadan di mana kita mungkin terdedah kepada kecenderungan untuk membeli lebih banyak daripada yang kita perlukan.
Sebelum berbelanja untuk membeli juadah, adalah penting untuk membuat senarai menu terlebih dahulu dengan teliti mengikut keperluan sebenar.
Seeloknya berusaha untuk tidak membeli barang secara tergesa-gesa (impulsif) atau berlebihan yang mungkin tidak mampu dihabiskan dan berakhir di tong sampah.
Senario sebegini merupakan kebiasaan berlaku sepanjang bulan Ramadan dan ia bukan hanya membebankan petugas kebersihan, malah memberi kesan buruk kepada alam.
Sekiranya juadah yang dibeli terlalu banyak, penyediaan makanan ketika waktu berbuka puasa dalam kuantiti sedikit merupakan langkah terbaik bagi mengelakkan makanan lebihan tersisa.
Sebaliknya makanan yang belum dijamah boleh disimpan di dalam peti sejuk dan boleh dipanaskan kembali ketika waktu sahur atau waktu-waktu yang lain.
Dengan cara ini, kita dapat mengurangkan pembaziran makanan dan juga menjimatkan wang.
Selain pembaziran makanan, kita juga perlu mengelakkan daripada melakukan pembaziran tenaga dan air sepanjang bulan Ramadan.
Secara tidak langsung tindakan itu mengurangkan penggnaan tenaga elektrik dan menyumbang kepada kelestarian alam.
Kadang kala kita tidak mampu mengawal diri apabila berkunjung ke bazar yang menawarkan aneka makanan dan membeli makanan secara berlebihan.
Jika situasi ini berlaku, adalah dinasihatkan untuk mengamalkan konsep berkongsi rezeki dengan mengagihkan sebahagian makanan yang dibeli tersebut kepada jiran, rakan berdekatan mahupun golongan yang memerlukan seperti asnaf.
Tindakan itu bukan sahaja mendapat ganjaran pahala yang besar, malah ia mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara satu dengan yang lain.
Ramadan adalah satu masa untuk merenung dan memperbaiki diri dari hati. Dengan mengamalkan inisiatif untuk mengelakkan pembaziran, kita tidak hanya menjaga kebersihan alam sekitar tetapi juga menghayati nilai-nilai keagamaan yang sebenar.
Jadikan Ramadan ini lebih bermakna dengan perbaiki diri, berbuat baik kepada sesama manusia dan melindungi alam sekitar. – Amirul Salam Hasan (UMT)/Edisi 9