33.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

Mesti Baca

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Menurut beliau, para penjenayah rasuah sekarang bukan sahaja semakin licik malah berpengetahuan untuk mengatasi kelemahan undang-undang sedia ada.

Malahan katanya, dengan perkembangan pesat teknologi maklumat dan era dunia tanpa sempadan sekarang, tugas tersebut semakin sukar dan kompleks.

“Oleh itu, SPRM turut bergantung kepada media bagi memastikan segala informasi dan mesej antirasuah sampai ke setiap lapisan masyarakat di negara ini.

“Ini termasuk di agensi kerajaan, swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pusat pendidikan dan juga masyarakat di setiap program, operasi atau aktiviti dijalankan,” katanya.

Advertisements
Azam Baki beramah mesra dengan sebahagian wartawan yang hadir pada malam Anugerah Media SPRM 2023 di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Media SPRM 2023 di Kuala Lumpur malam ini. Hadir sama, timbalannya, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali.

Pada masa sama, Azam menasihatkan masyarakat agar tidak menjadikan berita di media sosial khususnya berkaitan siasatan yang dijalankan agensi penguatkuasaan sebagai sumber utama yang boleh dipercayai.

Sebaliknya, beliau berkata, media arus perdana perlu diyakini berbanding sumber pemberitaan lain, khususnya dalam mendapatkan kebenaran berhubung perkara yang dibangkitkan di media sosial.

Bagaimanapun, beliau berharap media tidak membuat laporan berat sebelah atau yang bersifat memanipulasi sesuatu isu.

“Tidak kira sama ada media konvensional atau digital, prinsipnya ialah nilai sebuah berita itu terletak pada kualiti dan kredibiliti berita dan bukan pada sensasi semata-mata,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MASA, IDS jalin kerjasama bidang penyelidikan, masyarakat

INSTITUT Kajian Pembangunan (Sabah) IDS dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan menjalin...

Lagi Artikel Berkaitan