27.1 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

Bom ikan di Gerik: DOF sahkan spesies dilindungi banyak mati

Mesti Baca

BEBERAPA spesies ikan asli termasuk yang dilindungi di Sungai Singor, Hutan Simpan Temenggor di Gerik, Perak banyak yang mati akibat kegiatan penangkapan ikan dengan kaedah yang dilarang oleh sekumpulan individu baru-baru ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Datuk Adnan Hussain berkata, antara spesies ikan yang mati ialah tengas, kelah, terubul, lampam dan beberapa spesies lain yang merupakan ikan asli di kawasan tersebut.

Sehubungan itu, beliau menyelar tindakan sekumpulan individu tersebut yang menggunakan kaedah dilarang menyebabkan kematian ikan yang banyak di sungai terbabit.

Beliau berkata, DOF memandang serius video yang tular dalam media sosial dan pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap perkara tersebut bagi mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Hasil siasatan yang telah dijalankan oleh Pejabat Perikanan Daerah Hulu Perak mendapati kematian ikan adalah melibatkan spesies tengas, kelah, terubul, lampam dan beberapa spesies lain yang merupakan ikan asli di kawasan tersebut. Pihak kami masih giat menjalankan siasatan dan mengumpul bukti.

“Ikan kelah (Tor Tambroides) merupakan spesies ikan yang dilindungi dibawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) Perak 1992, Jadual Kedua, Kaedah 3 (4) yang menyatakan larangan menangkap, membunuh dan memiliki kecuali mendapat kelulusan bertulis Pegawai Perikanan Darat.

“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah kaedah ini boleh apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisements

Baru-baru ini tular satu klip video menunjukkan sekumpulan lelaki
menunjukkan hasil mereka menangkap ikan didakwa menggunakan kaedah yang dilarang.

Bagaimanapun, rakaman video tersebut mendapat kecaman banyak pihak kerana mereka didakwa menggunakan kaedah bom ikan menyebabkan banyak ikan termasuk spesies yang dilindungi mati.

Adnan berkata, antara kaedah penangkapan ikan yang dilarang di bawah Akta Perikanan 1985 ialah penggunaan arus atau renjatan elektrik, bom ikan, menuba ikan atau menggunakan racun.

Katanya, kaedah penangkapan sedemikian boleh menyebabkan kerosakan ekosistem kehidupan air tawar dan laut serta boleh menyebabkan kepupusan spesies asli yang menghuni kawasan tersebut.

“Kejadian tidak bertanggungjawab ini juga telah menjadikan kesinambungan ekosistem di kawasan itu terputus terutamanya lubuk atau kawasan yang menjadi habitat utama induk ikan-ikan sungai seperti kelah serta tengas untuk bertelur dan menghasilkan anak-anak ikan yang menjadi salah satu rantaian makanan di sungai tersebut,” katanya.

DOF sedia bekerjasama dengan semua pihak bagi menangani kes ini dan orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian hotline FishCom 24 jam 03-8870 4058. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan