33.2 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 21, 2024

Kupang PD masih belum selamat dimakan, 81 penternak terjejas

Mesti Baca

KUPANG dari perairan Port Dickson, Negeri Sembilan masih belum selamat dimakan kerana masih menunjukkkan kandungan biotoksin yang tinggi.

Jabatan Perikanan (DOF) berkata, ia berdasarkan hasil sampel yang diambil oleh Pejabat Perikanan Negeri Sembilan semalam yang kemudian dijalankan ujian makmal.

DOF berkata, jabatan itu bersama Persatuan Nelayan Negeri Sembilan masih giat menjalankan pemantauan setiap minggu bermula 2 April lalu.

“Berdasarkan tinjauan semasa yang dijalankan di lokasi, nelayan dan peniaga sentiasa mematuhi arahan larangan mengambil, mengutip dan menjual seperti yang diarahkan oleh DOF sebelum ini,” kata kenyataan itu hari ini.

DOF berkata, verifikasi yang telah dijalankan bermula 26 hingga 28 April lalu, telah mengenal pasti seramai 81 orang penternak yang terjejas berikutan kes kupang tercemar biotoksin.

Katanya, jabatan itu akan meneruskan pemantauan berterusan dengan melakukan pengujian secara berkala mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) National Shellfish Sanitation Programme (NSSP) yang ditetapkan sehingga bacaan biotoksin berada di paras yang dibenarkan dan kupang disahkan selamat untuk dimakan di Negeri Sembilan.

Pada 4 April lalu, DOF mengesahkan kupang di perairan Port Dickson dicemari biotoksin yang berbahaya dan tidak selamat dimakan.

Advertisements

Katanya, penemuan itu hasil analisis makmal yang dijalankan oleh Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur terhadap sampel air dan kupang di perairan Port Dickson.

Sebelum itu, Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan (JKNNS) memaklumkan terdapat lapan kes keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang termasuk dua kes kritikal berlaku di Port Dickson.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Harlina Abdul Rashid berkata, kejadian keracunan tersebut mula dikesan apabila Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Port Dickson menerima notifikasi dari Hospital Port Dickson.

Menurutnya, sebanyak dua kes dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala lima kes dimasukkan ke wad biasa, dan satu kes dirawat sebagai pesakit luar.

“Siasatan awal mendapati kesemua kes terdiri daripada beberapa buah keluarga yang berbeza dan mempunyai sejarah memakan kupang yang dibeli dari dua buah pasar di sekitar Port Dickson.

“Kesemua kes mengalami gejala sakit kepala, kebas tangan dan kaki, serta lemah otot. Terdapat dua kes dimasukkan ke ICU kerana mengalami gejala yang lebih teruk iaitu paralisis,” katanya seperti dilapor media. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Wajah Faisal di Stadium MBPJ kenang peristiwa hitam bola sepak

WAJAH pemain Selangor, Faisal Halim dijadikan hiasan mural pada Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya sebagai mengenang...

Lagi Artikel Berkaitan