30 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 21, 2024

Duit raya: Daripada keriangan kepada pelaburan masa depan

Mesti Baca

Oleh DR MOHAMED HADI ABD HAMID dan MOHD ZAIDI MD ZABRI

HARI Raya Aidilfitri bukan sahaja membawa kegembiraan kepada kanak-kanak melalui tradisi ‘duit raya’, tetapi juga memberi peluang penting kepada ibu bapa untuk mendidik kepentingan menyimpan dan pelaburan.

Justeru, ibu bapa boleh memanfaatkan pelbagai instrumen simpanan atau pelaburan untuk memenuhi keperluan dan matlamat yang menepati pelbagai tahap toleransi risiko.

Secara umum, instrumen ini boleh dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu skim simpanan bermatlamat khusus dan instrumen pengurusan dan pelaburan aset.

Kategori pertama iaitu skim simpanan bermatlamat khusus direka bentuk dengan matlamat tertentu seperti membiayai pendidikan atau persediaan untuk menunaikan haji.

Misalnya, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) oleh Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) telah diperkenalkan sejak tahun 2004 dan sehingga kini menjadi antara instrumen simpanan yang paling popular dalam kalangan ibu bapa.

SSPN bukan sahaja direka khas untuk simpanan pendidikan anak-anak, bahkan, pencarum juga boleh menikmati pelepasan cukai sehingga RM8,000 setahun. Boleh dikatakan ini merupakan satu-satunya instrumen simpanan yang diberi pelepasan cukai sebegini dan pelepasan cukai ini masih terpakai untuk tahun taksiran 2024.

Beberapa daya penarik yang dimiliki oleh SSPN ialah simpanan yang patuh syariah dan dijamin oleh kerajaan, kadar dividen yang kompetitif (3.6% pada tahun 2023) dan saiz deposit terkumpul yang besar (melebihi RM17 bilion setakat Disember 2023). PTPTN turut melunaskan zakat untuk simpanan SSPN.

Selain itu, umum mengetahui betapa Tabung Haji (TH) merupakan antara instrumen simpanan yang paling popular, sejajar dengan usia TH yang melebihi enam dekad tahun pada 2024.

TH merupakan instrumen simpanan ‘serampang dua mata’ yang bermatlamat untuk mengumpul wang simpanan bagi pencarum mengerjakan haji di masa akan datang.

Sepertimana SSPN, simpanan TH juga patuh syariah dan dijamin kerajaan, selain tanggungjawab zakat juga dilunaskan oleh TH untuk mengukuhkan aspek sosio-ekonomi umat Islam.

Contohnya untuk tahun 2023, TH membayar zakat sebanyak RM101 juta kepada negeri-negeri dan jumlah ini sentiasa bertambah setiap tahun. Apa yang membezakan simpanan SSPN dan TH ialah simpanan di TH tidak diberikan apa-apa pelepasan cukai.

Simpanan di TH juga dapat membina kekuatan deposit bagi membolehkan TH menjalankan pelaburan ke atas aset strategik negara. Deposit TH yang besar juga secara tidak langsung akan membantu TH memberikan pulangan keuntungan kepada semua pendeposit, khususnya untuk menunaikan haji.

Untuk rekod, TH merupakan pemegang saham utama bagi Bank Islam dan Takaful Malaysia yang masing-masing merupakan antara institusi kewangan Islam utama dan yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Manakala kategori kedua pula bertujuan untuk pengumpulan kekayaan dan pengurusan aset strategik yang menawarkan pelbagai pilihan pelaburan daripada simpanan bank tradisional kepada unit amanah yang lebih canggih sehinggalah aset fizikal seperti emas.

Amanah Saham Bumiputera (ASB) merupakan satu lagi skim simpanan yang terkenal yang diselenggarakan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Matlamat ASB ialah untuk menjadi tabung pelaburan bumiputera bagi menguasai aset-aset strategik negara—matlamat yang hampir sama dengan TH. Seperti yang kita sedia maklum, PNB melalui ASB juga menguasai aset-aset strategik negara seperti Maybank, Sime Darby dan lain-lain.

Advertisements

Perbandingan klasik yang sering digunakan ialah antara pulangan TH dan ASB. Biasanya dividen ASB yang diberikan adalah sedikit tinggi berbanding pulangan keuntungan TH memandangkan pulangan keuntungan TH telah dizakatkan manakala penyimpan ASB perlu melunaskan zakat simpanan mereka sendiri. Seperti TH, menyimpan di ASB juga tidak diberikan apa-apa pelepasan cukai.

Secara umumnya, simpanan di ASB kini sudah diiktiraf sebagai harus oleh pihak berautoriti agama termasuklah jawatankuasa muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan jawatankuasa fatwa negeri-negeri.

Selain ASB, terdapat beberapa produk lain yang ditawarkan oleh ASNB seperti ASB 2, ASB 3, Didik dan sebagainya. Ibu bapa perlu membuat kajian lanjut mengenai produk-produk ini kerana kadar dividen yang ditawarkan juga berbeza-beza berdasarkan rekod.

Setidak-tidaknya, menyimpan duit di bank ialah cara paling mudah namun tidaklah begitu menarik dari sudut kadar pulangan atau pelepasan cukai. Namun begitu, simpanan di bank tetap menjadi pilihan kerana mudah dan selamat. Ibu bapa yang cakna sewajarnya menyimpan duit raya anak-anak mereka di bank-bank Islam.

Meskipun ASB juga merupakan satu bentuk unit amanah, namun begitu, selain ASB, terdapat banyak pilihan unit amanah lain yang ditawarkan di pasaran seperti Amanah Hartanah Bumiputera (AHB). AHB memberi fokus kepada pelaburan hartanah dan turut menawarkan dividen yang kompetitif.

Kendatipun begitu, ibu bapa yang ingin memilih unit amanah tertentu perlu meneliti dan membuat penilaian wajar (due diligence) bagi memastikan pelaburan dan simpanan yang ingin dilakukan benar-benar berbaloi, selamat dan tidak mendatangkan kerugian buat simpanan anak-anak.

Selain itu, simpanan emas merupakan instrumen paling ‘menggiurkan’ dan kekal unggul sejak berzaman. Banyak pihak yang bersetuju adalah lebih baik menukarkan simpanan tunai menjadi emas seperti syiling emas atau jongkong emas (gold bar).

Malahan, kini, jongkong emas boleh didapati di mana-mana. Bahkan semakin banyak bank yang menawarkan perkhidmatan simpanan emas patuh syariah berbanding sedekad dua dahulu ketika jongkong emas amat sukar untuk didapati.

Umum juga maklum bahawa emas fizikal boleh digadai sewaktu kecemasan dan boleh ditebus semula di kemudian hari. Perkhidmatan ar-rahnu atau pajak gadai Islam juga sudah ada di merata-rata tempat.

Satu faktor daya penarik emas fizikal yang tidak boleh dinafikan ialah harga emas fizikal sentiasa meningkat saban tahun dan simpanan emas fizikal boleh dianggap sebagai kalis inflasi.

Secara pengoperasiannya, ibu bapa boleh meletakkan sasaran tertentu, misalnya dengan membeli 1 atau 2 gram jongkong emas setahun untuk anak-anak, sehinggalah mereka berusia 18 tahun.

Namun begitu, pemilikan emas fizikal juga bermaksud ibu bapa perlu menekankan aspek keselamatan dan memerlukan mekanisme penyimpanan aset berharga seperti emas di tempat yang benar-benar selamat bagi mengelakkan kecurian atau kehilangan.

Sehubungan dengan itu, amalan menyimpan perlu terus disuburkan agar malar segar merentas zaman. Bahkan juga, ibu bapa perlu mengelak daripada terjebak dengan skim pelaburan yang tidak berdaftar serta meragukan.

Dengan kos pendidikan yang terus meningkat saban tahun, tidak ada jalan yang singkat untuk menyimpan wang melainkan dengan terus berjimat dan bersederhana dalam berbelanja. Sehubungan dengan itu, pepatah ‘sediakan payung sebelum hujan’ kekal relevan untuk panduan.

Pepatah sediakan payung sebelum hujan juga berpadanan dengan saranan Al-Quran di dalam Surah Al-Furqan ayat ke-67 berkenaan dengan ciri-ciri hamba Allah, “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan
bakhil) itu.”


Dr Mohamed Hadi Abd Hamid adalah Perancang Kewangan Islam (IFP) berdaftar dan Dr Mohd Zaidi Md Zabri merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.
Advertisements

Terkini

Wajah Faisal di Stadium MBPJ kenang peristiwa hitam bola sepak

WAJAH pemain Selangor, Faisal Halim dijadikan hiasan mural pada Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya sebagai mengenang...

Lagi Artikel Berkaitan