PRESIDEN Iran, Ebrahim Raisi dikhuatiri terkorban dalam nahas helikopter yang berlaku di barat laut negara itu.
Memetik laporan Reuters, helikopter yang dinaiki Raisi dilaporkan ditemui dalam keadaan telah terbakar sepenuhnya.
Turut terkorban dalam nahas tersebut ialah Menteri Luar Iran, Hossein Amir Abdollahian.
Difahamkan, cuaca buruk telah menyukarkan pasukan penyelamat untuk segera tiba di lokasi nahas.
Sebelum ini media melaporkan sebuah helikopter membawa Raisi, bersama sejumlah pegawai kanan dilaporkan terhempas di barat laut Iran.
Raisi dilaporkan sedang dalam perjalanan pulang dari sebuah majlis perasmian empangan di sempadan Iran-Azerbaijan, apabila helikopter dinaikinya itu terhempas ketika mahu mendarat di wilayah Varzaqan.
Selain Raisi dan Amir Abdollahian, beberapa pegawai lagi dipercayai turut berada dalam helikopter berkenaan termasuk Gabenor Wilayah Azerbaijan Timur, Malek Rahmati; dan Imam Solat Jumaat di Tabriz, Hojjatoleslam Al Hashem.
Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Wisma Putra akan berkongsi sebarang perkembangan lanjut mengenai insiden helikopter dinaiki Raisi dan Amirabdollahian yang dilaporkan mendarat cemas di kawasan pergunungan di barat laut Iran.
Mohamad dalam kenyataan berkata, misi mencari dan menyelamat masih diteruskan biarpun berdepan cuaca buruk.
“Saya yang dalam perjalanan pulang ke Malaysia dari rangka kerja di Asia Tengah mengikuti rapat perkembangan kes ini.
“Doa saya agar semua yang terlibat segera dijumpai dan berada dalam keadaan baik. Semoga khabar menyenangkan menjengah tidak lama lagi.
“Sebarang perkembangan lanjut mengenai insiden ini akan dimaklumkan segera melalui laman media sosial rasmi Wisma Putra,” katanya.

