Tuesday, July 21, 2026

Fennec masuk laluan AW139 punca utama nahas helikopter

Mesti Baca

HELIKOPTER Fennec tidak berada pada ketinggian dan laluan ditetapkan serta memasuki laluan Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) menjadi punca utama kedua-dua pesawat itu bertembung dan terhempas di Lumut, Perak pada 23 April lalu.

Perkara itu diumumkan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berdasarkan laporan akhir Lembaga Siasatan yang menyiasat tragedi yang mengorbankan 10 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menurut beliau, faktor sekunder nahas itu pula disebabkan channelized attention oleh kru helikopter HOM-AW139 yang tertumpu ke arah penukaran haluan sehingga menghadkan reaksi untuk mengelak pelanggaran daripada berlaku.

Beliau berkata, laporan akhir Lembaga Siasatan nahas dua pesawat itu juga tidak menyatakan sekiranya nahas berpunca daripada faktor kesilapan manusia, berikutan pesawat Fennec berkenaan tidak dilengkapi dengan kotak hitam.

“Tiada data yang boleh merumuskan berlakunya human error kerana pesawat Fennec tiada kotak hitam,” katanya dalam sidang media Laporan Akhir Insiden Helikopter Terhempas di Pengkalan TLDM Lumut hari ini.

Dalam tragedi pada 23 April lepas itu tujuh kru HOM-AW139 dan tiga kru Fennec TLDM terkorban selepas helikopter dinaiki bergesel dan terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat bersempena Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Berdasarkan laporan awal yang diumum 9 Mei lalu mendapati dua helikopter yang terhempas di Lumut ketika raptai lintas hormat sempena Hari TLDM Ke-90 itu berada dalam keadaan airworthy atau selamat untuk terbang.

Laporan awal itu menyebut, kesemua kru udara terbabit disahkan mempunyai tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat.

Malahan, tahap kelayakan penerbangan kru udara yang terlibat juga masih sah dan tidak tamat tempoh.

“Kerja-kerja selenggaraan kedua-dua pesawat disahkan dilaksanakan mengikut prosedur dan rutin yang ditetapkan oleh pihak Original Equipment Manufacturer (OEM).

“Keadaan cuaca pada hari kejadian adalah baik dan sesuai untuk melaksanakan penerbangan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan