Monday, July 20, 2026

Panda gergasi Fu Wa, Feng Yi selamat pulang ke China

Fu Wa dan Feng Yi tiba di Malaysia pada 21 Mei 2014, hasil daripada Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda yang dimeterai antara Malaysia dan China

Mesti Baca

PASANGAN panda gergasi, Fu Wa dan Feng Yi, yang menjadi ikon konservasi hidupan liar negara sejak tahun 2014, telah selamat dihantar pulang ke China hari ini setelah tamat tempoh peminjaman selama 10 tahun.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengucapkan selamat jalan kepada pasangan panda tersebut, yang sebelum ini ditempatkan di Zoo Negara.

Majlis penghantaran pulang itu turut diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr. Ching Thoo a/l Kim, serta wakil dari Kedutaan China di Malaysia.

Fu Wa dan Feng Yi tiba di Malaysia pada 21 Mei 2014, hasil daripada Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda yang dimeterai antara Malaysia dan China Wildlife Conservation Association (CWCA) pada 15 Jun 2012.

Sepanjang berada di Malaysia, pasangan panda itu mencipta sejarah apabila berjaya melahirkan tiga ekor anak, iaitu Nuan Nuan, Yi Yi dan Sheng Yi.

Selamat jalan Feng Yi, semoga berjumpa lagi!

Ketiga-tiganya telah dihantar pulang ke China mengikut syarat perjanjian dengan Nuan Nuan pada 14 November 2017, manakala Yi Yi dan Sheng Yi pada 29 Ogos 2023.

Menurut Nik Nazmi, kejayaan ini membuktikan keupayaan Malaysia dalam program konservasi ex-situ, di samping meningkatkan kemahiran dan pembangunan kapasiti dalam bidang penyelidikan serta pengurusan spesies terancam.

“Projek konservasi panda ini menjadi lambang persahabatan erat antara Malaysia dan China, sejajar dengan tonggak kemampanan dalam kerangka Malaysia Madani,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama tersebut menerusi perjanjian baharu yang telah ditandatangani pada 16 April lalu sempena Lawatan Negara Presiden China ke Malaysia.

Perjanjian tersebut membolehkan Malaysia menerima sepasang panda baharu untuk tempoh 10 tahun dari tahun ini hingga 2035.

Tambah Nik Nazmi, penghantaran pulang Fu Wa dan Feng Yi melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Luar Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), MAQIS, MASkargo dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

“Kerjasama berterusan dengan RRC dalam bidang konservasi ini diharap dapat mengeratkan lagi hubungan diplomatik dan ekonomi antara kedua-dua negara,” ujarnya.

Pasangan panda baharu dijangka tiba di Malaysia dalam tahun ini. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan