Monday, July 20, 2026

Lawatan ke China perkukuh kedudukan Malaysia di pentas dunia

Lawatan itu turut menyaksikan kejayaan mesyuarat perniagaan di Tianjin dan Beijing yang membuahkan potensi pelaburan bernilai RM905 juta dalam sektor kimia dan telekomunikasi.

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan lawatan kerja beliau ke China bukan sekadar memperkukuhkan persahabatan erat Malaysia–China, sebaliknya turut memperteguh kedudukan negara di peringkat serantau dan antarabangsa.

Menurut beliau, hubungan peribadi yang terjalin bersama Presiden Xi Jinping dan Premier Li Qiang semakin erat melalui pertemuan di Tianjin dan Beijing, berteraskan keikhlasan yang membuka ruang luas kepada kerjasama strategik.

“Persahabatan ini membuka jalan kepada manfaat nyata untuk rakyat kedua-dua negara,” katanya menerusi media sosial selepas mengakhiri lawatan empat hari beliau ke China semalam.

Turut sama isteri beliau, Datin Seri Wan Azizah Ismail selain Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abd Aziz serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Anwar berkata, beliau diberi penghormatan menyampaikan syarahan di Tianjin serta berpeluang membincangkan isu perdamaian di Myanmar, hubungan dua hala, selain derita yang terus menimpa Gaza.

Anwar Ibrahim bersalaman dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un ketika mereka bertemu di Beijing.

Di Beijing pula, katanya, beliau bersama Presiden Xi dan pemimpin dunia menghadiri sambutan ulang tahun ke-80 penamatan Perang Dunia Kedua, yang disifatkan sebagai simbolik penentangan terhadap penindasan dan penjajahan.

“Ketika dunia dibelenggu sikap hipokrit kuasa besar yang membiar dan mengabsahkan kezaliman terhadap rakyat Palestin, kehadiran Malaysia membawa suara keadilan dan kemanusiaan sejagat,” jelasnya.

Mengulas pertemuan empat mata bersama Presiden Xi dan Premier Li, Anwar berkata, perbincangan turut memberi tumpuan kepada ruang baharu kerjasama dalam bidang infrastruktur, pelabuhan, pendidikan, teknologi serta kecerdasan buatan.

Lawatan itu turut menyaksikan kejayaan mesyuarat perniagaan di Tianjin dan Beijing yang membuahkan potensi pelaburan bernilai RM905 juta dalam sektor kimia dan telekomunikasi.

Selain itu, syarikat e-dagang JD.com turut menyatakan komitmen untuk membeli produk Malaysia bernilai RM180 juta, manakala pertemuan dengan China Semiconductor Industry Association membuka prospek eksport bernilai RM2.2 bilion dalam tempoh satu hingga dua tahun.

“Ini mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam industri semikonduktor,” ujar Perdana Menteri.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan China atas layanan mesra dan penghormatan luar biasa sepanjang lawatan tersebut. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan