KERAJAAN Negeri Johor membuka peluang kepada Wuxi Hyatech Co., syarikat bertenologi tinggi dari China untuk membuat pelabuan di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, tawaran itu dibuat ketika beliau mengadakan lawatan ke syarikat pembekal komponen aeroangkaea terkemuka di Jiangsu itu hari ini.
Beliau berkata, antara perkara utama yang dibincangkan di kesempatan itu termasuk penilaian lokasi strategik serta sokongan ekosistem industri negeri bagi memastikan pelaburan tersebut dapat direalisasikan secara mampan dan berimpak tinggi.
“Keutamaan Kerajaan Negeri adalah memastikan setiap pelaburan yang dibawa masuk memberi limpahan ekonomi kepada rakyat.
“Ini termasuk pembukaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, penyediaan latihan kepada tenaga kerja tempatan, serta pemindahan ilmu dan kepakaran teknologi kepada industri dalam negeri,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Onn Hafiz berkata, Hyatech mempuyai kepakaran pembuatan komponen enjin pesawat dan turbin untuk Rolls-Royce, Safran dan GE Aerospace di samping pengeluaran komponen implan ortopedik untuk sektor perubatan global.
Beliau berkata, Hyatech juga merupakan sebuah syarikat berteknologi tinggi yang tersenarai di STAR Market, Shanghai Stock Exchange.
“Kedudukan ini mencerminkan keupayaan teknologi, tadbir urus yang kukuh serta daya saing di peringkat antarabangsa, khususnya dalam industri bernilai tinggi berasaskan inovasi dan kepakaran teknikal,” katanya.
Jelas Onn Hafiz, sebagai bukti keupayaan dan hala tuju jangka panjang, Hyatech telah mencatat perkembangan pesat melalui pelaburan bernilai CN¥1 bilion (RM560 bilion) bagi pengembangan fasa ketiga fasiliti aero-enjin pada Januari 2024, yang dijangka menjana tambahan hasil tahunan sekitar CN¥2 bilion (RM1.2 trilion) sekali gus mengukuhkan kapasiti pengeluaran serta keupayaan teknologi berteraskan inovasi tinggi.
“Kerajaan negeri yakin kerjasama strategik seperti ini mampu menjadi pemangkin transformasi ekonomi Johor.
“Ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti, memperkukuh pemindahan teknologi, dan menjadikan Johor destinasi pilihan pelabur global dengan manfaat yang dapat dirasai secara langsung oleh rakyat,” katanya. — Edisi 9

