Tuesday, July 21, 2026

RISDA dicadang tubuh Depoh Getah Berteknologi Tinggi di Sabah

Langkah tersebut mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi khususnya dalam pembangunan produk hiliran seperti biofuel daripada getah skrap...

Mesti Baca

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menubuhkan sebuah Depoh Getah Berteknologi Tinggi di Sabah bagi memperkasa industri komoditi itu di negeri tersebut.

Menurut beliau, langkah tersebut mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi khususnya dalam pembangunan produk hiliran seperti biofuel daripada getah skrap, sekali gus memberi nilai tambah kepada sektor itu yang kini semakin mencabar.

“Sabah merupakan negeri yang memiliki kawasan tanaman getah terbesar di Malaysia. Maka wajarlah Sabah juga diberi keutamaan dalam segala inisiatif pembangunan getah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pekebun Kecil Makmur Peringkat Negeri Sabah di Tenom hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, usaha berterusan perlu dilakukan bagi memastikan industri getah terus relevan dan memberi manfaat kepada pekebun kecil, terutamanya di kawasan luar bandar.

Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan peruntukan untuk RISDA Daerah Keningau di Tenom hari ini.

“Dalam usaha menjadikan industri getah meningkat naik, kita harus membawa masuk teknologi, memperkasakan TVET, melatih anak muda, dan memanfaatkan nilai tambah dari setiap inci pokok getah termasuk untuk industri perabot,” jelasnya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memperjuangkan kebajikan pekebun kecil getah di Sabah agar mereka tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara.

“Saya mahu setiap pekebun kecil di Sabah merasai bahawa mereka tidak akan ditinggalkan. Saya mahu setiap suara mereka didengar, setiap cabaran mereka diambil tindakan, dan setiap titik peluh mereka dihargai,” katanya.

Tambah beliau, kunjungan ke Tenom kali ini adalah yang pertama sejak tahun 2018, dan beliau hadir kali ini dengan komitmen baharu serta perancangan tuntas melalui RISDA untuk mengangkat martabat pekebun kecil ke tahap yang lebih tinggi.

Ahmad Zahid turut menzahirkan harapan agar segala usaha pembangunan yang dirancang akan membawa rahmat kepada para pekebun kecil dan menjadi pemangkin kepada kemajuan luar bandar secara keseluruhan.

“Bersama kita semai harapan dan tuai kemajuan demi masa depan desa yang makmur dan lebih sejahtera, Insya-Allah,” ujarnya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan