MALAYSIA dan Finland bakal memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang teknologi angkasa susulan pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Duta Besar Finland ke Malaysia, Anne Vasara di Putrajaya hari ini.
Pertemuan yang turut disertai barisan pengurusan tertinggi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu membincangkan peluang kerjasama dalam ekonomi hijau, inovasi teknologi serta hubungan dua hala yang semakin berkembang.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, antara tumpuan utama perbincangan ialah kerjasama dengan syarikat Finland, ReOrbit Oy, dalam bidang kejuruteraan satelit dan teknologi angkasa.
“Gabungan kepakaran global ReOrbit dengan kekuatan akademik UniKL akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau inovasi satelit, di samping melahirkan bakat tempatan yang mampu memacu ekonomi angkasa negara,” kata beliau menerusi media sosialnya hari ini.
Bagi merealisasikan kerjasama ini, Ahmad Zahid turut mengarahkan penubuhan Jabatan Teknologi Satelit di University Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT).
Beliau berkata, Jabatan baharu itu dicadang dipengerusikan bersama oleh profesor pelawat dari ReOrbit serta wakil universiti Finland.
Ahmad Zahid berkata, Langkah tersebut bakal membuka peluang latihan kepakaran pensyarah dan pelajar di Finland, sekali gus memperkukuh ekosistem teknologi satelit negara.
“usaha ini akan menjadi pemangkin kepada transformasi teknologi tinggi yang memberi manfaat besar kepada rakyat dan masa depan negara,” ujarnya. – Edisi 9

