KERAJAAN komited untuk memperkasa industri perikanan negara, termasuk menjadikan industri tuna sebagai sektor bernilai tinggi negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, untuk itu Malaysia berusaha untuk menjadikan negara sebagai hab tuna serantau.
“Pembangunan rantaian bekalan tuna yang lebih cekap daripada pendaratan hingga pemprosesan diyakini mampu membuka peluang ekonomi baharu serta meningkatkan daya saing industri perikanan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pembangunan dan Pemerkasaan Nelayan kali pertama bagi 2026 di Parlimen hari ini.
Jawatankuasa itu telah dijenamakan semula sebagai Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pembangunan dan Pemerkasaan Industri Perikanan (JPT-PPIP).
Ahmad Zahid berkata, penjenamaan semula itu mencerminkan hala tuju baharu kerajaan dalam memperkukuh keseluruhan ekosistem industri perikanan negara.
Katanya, ini termasuk perikanan tangkapan, perikanan darat serta sektor akuakultur secara lebih bersepadu dan mampan.
Beliau berkata, mesyuarat turut meneliti cadangan pembinaan Kompleks Pendaratan Ikan di Hutan Melintang, Perak dan Sandakan, Sabah.
Katanya, pembinaan dua kompleks itu sebagai langkah strategik memperkukuh infrastruktur industri serta meningkatkan kecekapan operasi dan pemasaran hasil perikanan tempatan.
Ahmad Zahid berkata, selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara, pelbagai inisiatif berimpak tinggi terus dilaksanakan.
Beliau berkata, antaranya pemodenan vesel nelayan menggunakan teknologi automasi dan mesra alam, pemerkasaan kapasiti limbungan bot serta pembangunan fasiliti sokongan industri.
Dalam masa yang sama, jelas beliau, kerajaan kekal komited memastikan kebajikan komuniti nelayan terus terbela melalui pelbagai bentuk bantuan dan insentif.
Ini termasuk Elaun Sara Hidup Nelayan, insentif hasil tangkapan, diesel bersubsidi serta bantuan perumahan khusus untuk nelayan B40.
“Saya yakin melalui kerjasama erat antara kementerian, agensi serta pemain industri, sektor perikanan negara mampu berkembang secara lebih progresif, berdaya saing dan kekal menjadi sumber rezeki mampan kepada komuniti nelayan,” katanya.
Beliau berkata, agenda memperkasa komuniti nelayan akan terus menjadi keutamaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat serta keterjaminan bekalan makanan negara terus terpelihara. — Edisi 9

