TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan kebimbangan wujud usaha pihak tertentu yang cuba memecahbelahkan keakraban dua negara serumpun, antara Malaysia-Indonesia.
Beliau berkata, tidak sewajarnya perbezaan fahaman politik antara kedua-dua negara itu memecahbelahkan hubungan dua hala itu.
“Jangan kerana perbezaan minda politik di antara kedua-dua negara terbelah kerana nilai-nilai fikrah, pemikiran, kebudayaan, bahasa yang memang terjalin kedua-dua negara ini sebagai satu rumpun.
“Kekhuatiran saya ada usaha-usaha mahu memecahkan keakraban dan kerumpunan ini sehingga ada negara itu cuba memecahkan kita.
“Ini harus dipertahankan bahawa dasar pecah dan perintah ini telah memecahkan kita (ketika zaman penjajahan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam tadi.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Presiden PAPTI, Datuk Dr Abdul Latiff Awang.
Ahmad Zahid menggesa semua pihak untuk mengambil iktibar daripada perpecahan kesatuan negara-negara Arab sehingga kini.
“Kita ketahui bagaimana terpecahnya benua Arab. Ia disebabkan oleh sebuah negara yang cuba memecahkan kesatuan negara-negara Arab dan jelas perkara itu berjaya diadakan dan tidak selesai sehingga sekarang,” katanya.
Sementara itu Ahmad Zahid menggesa PAPTI memainkan peranan penting untuk menjalinkan hubungan tidak rasmi mahupun secara peribadi untuk menerap dan merapatkan bukan hanya dalam bidang pelancongan bahkan dalam pendidikan.
“Ini kerana mereka mendapat pendedahan daripada Indonesia dan jika ada pun permasalahan yang timbul di masa-masa akan datang.
“Saya harap PAPTI akan memainkan peranan untuk menghubungi rakan-rakan mereka di tempat pengajian supaya jalinan hubungan ini tidak terputus dan sebarang permasalahan dapat diselesaikan dengan tuntas,” katanya lagi.

