UMNO menyambut baik keputusan Jemaah Menteri untuk menarik balik pembentangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) di Parlimen, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurut beliau, UMNO tegas berpendirian bahawa parti itu tidak menentang pembangunan bandar, namun RUU URA perlu diperbaiki dan ditambah baik.
Beliau berkata, ini termasuk beberapa pindaan yang harus diperhalusi sebagaimana cadangan Jawatankuasa Khas UMNO Mengenai URA yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
“Untuk makluman, Jawatankuasa Khas UMNO Mengenai URA ini telah melakukan beberapa siri libat urus termasuk Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar pada 3 Oktober 2025 lalu dengan meluluskan 14 syor cadangan penambahbaikan RUU URA.
“UMNO menegaskan bahawa RUU URA hanya wajar dibentangkan semula di Parlimen dalam bentuk baharu setelah semua cadangan penambahbaikan diambil kira,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Asyraf Wajdi mengulas keputusan kerajaan menarik balik RUU URA 2025 untuk ditambah baik sebelum kembali dibentang di Parlimen.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat jemaah menteri, hari ini.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen dan UMNO.
“Jemaah menteri bersetuju bahawa RUU PSB akan ditarik balik untuk ditambah baik melalui beberapa pindaan dan tambahan yang akan diteliti, dibentangkan, dibincang dan diputuskan jemaah menteri pada satu tempoh yang akan dimaklumkan.
“Seterusnya ia akan dibentangkan semula dalam bentuk yang baharu di Parlimen,” katanya.
Beberapa hari lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menegaskan kesediaannya untuk membentangkan RUU tersebut bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kementerian bertekad meneruskan pembentangan rang undang-undang berkenaan selepas memperoleh konsensus Jemaah Menteri.
“Kita bergantung kepada keputusan kolektif Kabinet. Sekiranya Jemaah Menteri bersetuju, mesej saya jelas bahawa KPKT sentiasa bersedia.
“Kami sentiasa bersedia untuk meneruskan bacaan kedua Rang Undang-Undang Pembaharuan Bandar kerana kami percaya perkara ini amat penting untuk masa depan pembangunan bandar negara,” katanya. – Edisi 9

