Tuesday, July 21, 2026

Sekatan ke atas Grok ditarik selepas X tingkat keselamatan

Pihak X telah mengesahkan bahawa langkah keselamatan yang diperlukan telah dilaksanakan terhadap aplikasi Grok.

Mesti Baca

SEKATAN ke atas aplikasi kecerdasan buatan (AI) Grok di platform X ditarik balik berkuat kuasa hari ini susulan pengesahan pelaksanaan langkah-langkah pencegahan dan keselamatan tambahan oleh pihak platform berkenaan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berkata, ia susulan satu mesyuarat telah diadakan antara Kementerian Komunikasi, MCMC serta wakil platform X berhubung aplikasi Grok pada Rabu lalu.

“Mesyuarat berkenaan diadakan bagi mendapatkan penjelasan dan komitmen pihak platform X berhubung langkah pencegahan serta pematuhan undang-undang Malaysia, di mana pihak X telah mengesahkan bahawa langkah keselamatan yang diperlukan telah dilaksanakan terhadap aplikasi Grok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, MCMC berkata, setelah mengambil kira penjelasan dan pengesahan awal yang dikemukakan, MCMC telah menarik balik sekatan akses sementara yang dikenakan terhadap aplikasi Grok, tertakluk kepada pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa.

MCMC menegaskan, keselamatan pengguna kekal sebagai keutamaan dan sebarang kegagalan pematuhan atau pelanggaran undang-undang Malaysia akan ditangani secara tegas selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Pada 13 Januari lalu, MCMC mengambil tindakan undang-undang terhadap X Corp. dan xAI LLC ekoran kegagalan platform media sosial itu memastikan keselamatan pengguna di Malaysia berkaitan penggunaan Grok.

MCMC berkata, pihak peguam cara telah dilantik dan prosiding undang-undang akan dimulakan dalam masa terdekat.

“MCMC telah mengenal pasti penyalahgunaan Grok untuk menjana dan menyebarkan kandungan berbahaya.

“Ini termasuk kandungan lucah berunsur seksual secara eksplisit, tidak senonoh, jelik melampau, serta imej manipulasi tanpa persetujuan,” kata MCMC sambil menambah tindakan undang-undang itu dibuat dengan kerjasama Kementerian Komunikasi.

Sebelum itu, MCMC telah mengambil tindakan sekatan sementara ke atas akses kepada kecerdasan buatan Grok bagi pengguna di Malaysia. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan