Monday, July 20, 2026

Khutbah Jumaat: Kewangan Islam, harta bersih hidup berkat

Sistem kewangan Islam dibangunkan supaya urusan muamalat berjalan secara adil, telus dan beretika agar kekayaan tidak berlegar dalam kalangan tertentu sahaja...

Mesti Baca

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. 

Semoga kita semua diberikan kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat.

Pada hari yang mulia ini, khatib akan membicarakan khutbah yang bertajuk “Kewangan Islam: Harta Bersih Hidup Berkat.”

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Islam telah meletakkan panduan yang jelas dalam urusan jual beli dan transaksi kewangan, iaitu mestilah bebas daripada unsur riba, gharar dan maysir

Dalam bahasa mudah, riba merujuk kepada setiap lebihan atau manfaat yang disyaratkan dalam urusan pinjaman, sama ada dalam bentuk faedah, denda atau tempoh kepada pemberi pinjam.

Gharar pula merujuk kepada ketidaktentuan dan ketidakjelasan dalam akad, seperti menjual sesuatu yang tidak pasti wujud atau tidak diketahui sifatnya.

Manakala maysir pula adalah unsur perjudian dan spekulasi untung nasib yang memberi keuntungan kepada satu pihak tanpa sebarang usaha, sementara pihak lain menanggung kerugian.

Panduan ini bukan sekadar ketetapan hukum, tetapi bertujuan melindungi umat daripada ketidakadilan, penipuan dan penindasan dalam urusan muamalat.

Sistem kewangan Islam dibangunkan supaya urusan muamalat berjalan secara adil, telus dan beretika agar kekayaan tidak berlegar dalam kalangan tertentu sahaja dan hak semua pihak dipelihara.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Hasyr ayat 7:

“Supaya harta itu tidak hanya beredar antara orang kaya sahaja dalam kalangan kamu.”

Inilah roh sebenar syariat Islam, iaitu menegakkan keadilan dan menutup pintu kezaliman.

Apabila dasar ini dihormati dan dilaksanakan, manfaatnya bukan hanya dirasai oleh umat Islam, bahkan seluruh masyarakat akan menikmati kesejahteraan ekonomi yang lebih seimbang dan berperikemanusiaan.

Hadirin Jumaat yang dimuliakan,

Syariat Islam dengan jelas menyatakan larangan dan pengharaman urusan jual beli yang melibatkan riba.

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud:

“Dan Allah menghalalkan jual beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

Begitu juga terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Jabir Radiallahuanhu bahawa:

“Rasulullah SAW melaknat pemakan riba, pemberi riba, penulisnya dan dua orang saksinya, lalu Baginda SAW bersabda: Mereka semua sama (berdosa).” — (Riwayat Muslim).

Mengambil pengajaran daripada ayat dan hadis ini, hari ini kita melihat ramai umat Islam yang berhati-hati tentang halal dan haram sesuatu makanan, namun masih kurang mengambil perhatian terhadap halal dan haram dalam urusan kewangan seperti terlibat dengan riba.

Ketahuilah, harta yang kita perolehi sama penting untuk dijaga seperti makanan yang masuk ke dalam tubuh badan kita.

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT,

Sejarah kewangan Islam di Malaysia bermula seawal tahun 1963 dengan tertubuhnya Lembaga Tabung Haji untuk menguruskan simpanan umat Islam secara patuh syariah dan membolehkan umat Islam menunaikan ibadah haji tanpa terlibat dengan amalan riba.

Kemudian, pada tahun 1983, negara menyaksikan penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad yang merupakan titik permulaan rasmi sistem kewangan Islam moden dalam negara kita.

Di Malaysia, sistem kewangan Islam didukung oleh Kerangka Kerja Tadbir Urus Syariah yang memastikan setiap transaksi mematuhi syariah dan bebas daripada unsur riba.

Aspek ini diteliti dan dipantau sepenuhnya oleh Majlis Penasihat Syariah yang dipertanggungjawabkan oleh badan berautoriti, iaitu Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) bagi sektor perbankan dan takaful serta Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi Pasaran Modal Islam.

Ahli-ahli Majlis Penasihat ini merupakan lantikan Yang di-Pertuan Agong, terdiri daripada pakar-pakar muamalat, kewangan serta ahli perundangan, termasuk mufti-mufti negeri yang diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa.

Oleh itu, tidak diragui lagi bahawa sistem kewangan Islam di Malaysia adalah sanagat diyakini dan dipercayai.

Hadirin Jumaat yang berbahagia,

Dalam konteks pelaburan dan pengurusan harta, khatib menyeru seluruh jemaah agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam melakukan transaksi kewangan.

Setiap pelaburan hendaklah dilakukan secara bertanggungjawab, berasaskan ilmu, serta melalui saluran yang sah dan patuh syariah.

Jauhilah skim penipuan, pelaburan palsu dan janji pulangan luar biasa yang hanya membawa kerugian.

Para jemaah juga diingatkan agar merujuk Panduan Maqasid al-Syariah Pasaran Modal Islam yang diperkenalkan oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, bagi memastikan setiap transaksi kewangan dan pelaburan adalah mematuhi Hukum Syarak serta dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya’ ayat ke 7;

“Maka tanyalah olehmu kepada orang yang berilmu (Ahlu Zikr), jika kamu tidak mengetahui.”

Bertanya atau merujuk kepada pihak yang berautoriti yang berkepakaran adalah penting dan merupakan sifat muslim yang baik, yang sentiasa teliti dalam segala urusan dan tindakannya, agar tidak tersalah langkah melanggar sempadan agama, seterusnya memastikan harta kita bersih dan diberkati oleh Allah SWT.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita bersama-sama mengambil pengajaran untuk dijadikan pedoman dalam kehidupan:

1. Umat Islam wajib memilih sistem kewangan yang patuh Syariah dalam setiap urusan jual beli, pinjaman dan transaksi kewangan lain.

2. Umat Islam mestilah terlebih dahulu menyemak setiap produk kewangan dan pelaburan kepada badan berautoriti sebelum melakukan sebarang transaksi. Ini bagi menjamin keterjaminan produk kewangan tersebut adalah selamat dan mematuhi syarak.

3. Umat Islam dilarang terlibat dengabn amalan riba. Sesungguhnya Allah SWT dan Rasul-Nya mengisytiharkan perang kepada sesiapa sahaja yang terlibat dengan riba.

“Wahai orang yang beriman, takutlah kepada Allah dan jauhilah (jangan menuntut lagi) saki-baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) jika kamu benar-benar orang yang beriman. Oleh itu, jika kamu tidak mahu melaksanakannya (perintah mengenai larangan riba), maka ketahuilah adanya peperangan daripada Allah dan Rasul-Nya (akibatnya, kamu tidak akan selamat). Namun jika kamu bertaubat (daripada mengambil riba) makapokok asal harta kamu ialah hak kamu. Dengan itu, kamu tidak menzalimi orang lain dan tidak pula dizalimi. — (Surah al-Baqarah: 278-279).


Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor, 23 Januari 2026.

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan