KETUA Editor dan Pengarang Dalam Talian China Press telah dipanggil dan dirakam keterangan berhubung satu kandungan yang dipercayai melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang disiarkan melalui akaun rasmi media tersebut di platform media sosialnya.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berkata, siasatan dijalankan susulan laporan yang diterima terhadap kandungan yang didakwa mengandungi maklumat palsu berkait titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung kedudukan bahasa Melayu.
Menurut MCMC, penitian awal mendapati kandungan tersebut membawa maksud berbeza daripada titah sebenar Seri Paduka Baginda semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen pada Isnin.
“… (ini) sekali gus boleh mencetuskan persepsi tidak tepat terhadap Institusi diraja serta kepentingan nasional,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.
Suruhanjaya itu berkata, laporan tidak tepat berhubung kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sepertimana dititahkan juga berpotensi menimbulkan kekeliruan awam.

Seri Paduka Baginda semasa istiadat tersebut bertitah “kalau ada yang tidak menerima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk Malaysia” namun telah ditulis oleh China Press menerusi Facebooknya sebagai “tidak tahu berbahasa Melayu, jangan duduk Malaysia”.
Perkara itu disedari oleh seorang aktivis masyarakat, Firdaus Wong Wai Hung yang kemudian membuat laporan polis terhadap akhbar terbabit.
MCMC berkata, selain kedua-dua individu terbabit diambil keterangan, pihaknya turut menyita beberapa peralatan dan bahan berkaitan untuk siasatan.
“MCMC memandang serius sebarang penerbitan melibatkan Titah Yang di- Pertuan Agong dan perkara berkaitan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta mengingatkan semua organisasi media agar melaksanakan semakan fakta secara teliti dan mematuhi prinsip kewartawanan bertanggungjawab,” katanya. — Edisi 9

