SEKUMPULAN mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencipta pengalaman berharga apabila menyertai program pengantarabangsaan ke Jepun baru-baru ini menerusi kerjasama akademik bersama Nihon University.
Program ini bukan sekadar lawatan akademik, malah turut melibatkan aktiviti kesukarelawanan dan kebajikan di Tokyo Central Mosque serta Masjid Fujikawaguchiko.
Pelbagai pengisian menarik dijalankan bagi memberi pendedahan antarabangsa kepada peserta merangkumi aspek kepimpinan, pertukaran budaya dan diplomasi pendidikan.
Menurut wakil pelajar, Wan Darwisy Khazin Wan Ahmad Rosddy, penyertaan dalam program tersebut banyak membantu membina jati diri dan keyakinan mahasiswa.
“Kami dapat memahami budaya masyarakat Jepun dengan lebih dekat. Aktiviti kesukarelawanan pula mendidik kami tentang empati, tanggungjawab sosial dan peranan mahasiswa sebagai agen perubahan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT, Prof. Dr. Izani Mohd Zain berkata, program seumpama ini merupakan antara usaha universiti dalam melahirkan mahasiswa yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah.
Beliau turut menegaskan bahawa pendedahan antarabangsa mampu meningkatkan keupayaan kepimpinan rentas budaya serta membentuk mahasiswa yang berdaya saing, berintegriti dan berwawasan global.
Program ini secara tidak langsung mencerminkan komitmen berterusan UMT dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah mempunyai kepekaan sosial serta mampu membawa imej universiti dan negara ke peringkat antarabangsa. – Edisi 9

