Tuesday, July 21, 2026

Krisis minyak dunia: Malaysia perlu percepat kemandirian tenaga

Ini adalah peringat kritikal untuk memperkukuh kedaulatan tenaga nasional melalui kepelbagaian sumber tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada pasaran bahan api fosil yang tidak menentu.

Mesti Baca

MALAYSIA perlu mempercepatkan usaha ke arah kemandirian tenaga dan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil global susulan ketidaktentuan geopolitik yang semakin meruncing ketika ini.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, konflik yang melibatkan kuasa besar dunia di Asia Barat, khususnya di laluan strategik seperti Selat Hormuz, memberi kesan langsung kepada kestabilan ekonomi global dan negara.

Menurut beliau, walaupun Malaysia berpotensi meraih keuntungan jangka pendek apabila harga minyak meningkat, situasi tersebut sebenarnya merupakan “pedang bermata dua” kerana peningkatan kos import dan gangguan rantaian bekalan boleh menekan inflasi domestik.

“Bagi Malaysia, ini adalah peringat kritikal untuk memperkukuh kedaulatan tenaga nasional melalui kepelbagaian sumber tempatan, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada pasaran bahan api fosil yang tidak menentu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zamri berkata, kerajaan kini giat melaksanakan pelbagai inisiatif tenaga boleh baharu (TBB), termasuk projek solar terapung berskala besar di bawah Belanjawan 2026 dengan peruntukan RM6 bilion bagi kapasiti sehingga 2 gigawatt.

PROF MOHD ZAMRI IBRAHIM

Selain itu, katanya, peluasan kuota tarif galakan bagi biojisim dan biogas turut menyokong usaha memanfaatkan sisa industri, khususnya dalam sektor perladangan.

“Tambahan pula, Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), pengenalan skim Solar ATAP dan garis panduan SELCO yang dikemas kini pada Januari 2026 mewajibkan pemasangan BESS bagi sistem yang melebihi 1 MWac,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa penggunaan kenderaan elektrik (EV) secara meluas turut menjadi antara tonggak utama peralihan tenaga negara, dengan Malaysia kini mencapai lebih 15,000 kemudahan pengecasan awam setakat awal tahun ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia juga perlu mencontohi pendekatan strategik China yang menggabungkan penggunaan bahan api fosil sebagai penstabil sementara dengan pembangunan agresif tenaga boleh baharu dan hidrogen hijau.

Menurutnya, hidrogen hijau berpotensi menjadi penyelesaian jangka panjang kerana sifatnya sebagai pembawa tenaga berketumpatan tinggi serta bebas pelepasan karbon.

“Dengan kepadatan tenaga spesifik kira-kira 120 MJ/kg (tiga kali ganda lebih tinggi daripada diesel), ia merupakan satu-satunya alternatif sifar emisi yang berdaya maju untuk kegunaan berat seperti kapal maritim dan pengangkutan awam,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kawasan pesisir pantai seperti di Sabah dan Pantai Timur Semenanjung dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk pembangunan tenaga angin luar pantai.

“Dengan menempatkan elektrolisis PEM bersama ladang angin luar pantai, hidrogen hijau boleh dihasilkan terus di laut. Ini menghapuskan keperluan sambungan grid daratan yang mahal dan membolehkan hidrogen diangkut melalui kapal tangki khas atau saluran paip dasar
laut,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata kos pengeluaran hidrogen hijau kini semakin kompetitif dan dijangka mencapai kesetaraan harga dalam tempoh terdekat selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Malaysia mempunyai peluang besar untuk mengubah risiko geopolitik semasa kepada peluang ekonomi baharu.

“Dengan memanfaatkan kepakaran maritim dan potensi angin di pesisir pantai, kita mampu mengubah risiko geopolitik menjadi peluang
untuk menerajui Ekonomi Biru di rantau ini,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan