Perkukuh negara bangsa, tangani kesenjangan duniawi
Autonomi yang diberikan kepada IPT perlu beriringan dengan integriti, nilai mulia dan akauntabaliti dalam membuat keputusan dan mentadbir urus universiti.
Graduan Universiti Teknologi Mara. - Gambar hiasan/UiTM
Oleh PROF MADYA DR NAZLI AZIZ
DALAM ketamadunan dunia, perubahan, pembaharuan, pengukuhan dan penambahbaikan merupakan dimensi setiap sektor perlu dan pasti hadapi.
Mengelola setiap demensi tersebut memerlukan rasional, iltizam dan berwawasan jauh supaya negara tidak ketinggalan dan terlepas peluang keemasan.
Sektor pendidikan tinggi tidak terlepas daripada demensi terkait yang memerlukan ketangkasan wawasan jangka panjang.
Sektor pendidikan tinggi negara telah mengalami satu transformasi dan lonjakan yang ketara dan berbeza bermula dekad kedua abad ke-21.
“Pendemokrasian” sistem pendidikan negara telah memberi ruang yang lebih meluas kepada rakyat untuk meneruskan pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT) negara.
IPT awam dan swata diperkasa sebagai wadah untuk rakyat mendapat pendidikan bermutu. Transformasi pendidikan tinggi negara terus dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Sektor pendidikan tinggi negara terus dilonjak dan dilestarikan menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang dizahirkan oleh Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dalam Majlis Perutusan Tahun Baharu 2026, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada 20 Januari 2026.
Terdapat tujuh tujahan KPT yang dilaraskan menerusi tujuh fokus utama iaitu RPTM 2026-2035 itu sendiri, Akademia sebagai Pembina Bangsa, Kemenjadian Siswa: Dari Polisi kepada Realiti, Tadbir Urus Lebih Tangkas, POLYCC: Pelopor Pendidikan Teknikal dan Profesional Negara, Alumni Kembali ke Kampus dan AI sebagai Pendaya Utama Transformasi Pendidikan Tinggi.
RPTM 2026-2035 digubal dan dilenturkan seiringan dengan dinamika sektor pendidikan dan ekonomi jangka panjang peringkat global tanpa menyisihkan nilai holistik individu dan jati-diri pembentukan negara-bangsa Malaysia.
Elemen-elemen dalam RPTM 2026-2035 seperti pendekatan kolaboratif pelbagai pemegang taruh, dokumen hidup, matlamat yang jelas, berpaksikan kemanusiaan, berpandukan tujuan dan pembina bangsa adalah selari dan cerminan kepada nilai-nilai Malaysia Madani.
Kerajaan memahami bahawa kehebatan tamadun lampau dibina menerusi ilmu.
Akademia sebagai pembina bangsa merupakan fokus tepat pihak kerajaan yang memahami negara-bangsa tanpa para ilmuan dan rakyat yang dangkal pemikiran tidak mampu menghadapi dan bertahan dengan perubahan global.
Tentu sekali negara bangsa yang tidak berpaksikan kepada ilmu mudah dimomok dan diperkotak-katikkan.
Seterusnya, kemenjadian siswa yang menekankan aspek daripada polisi kepada realiti memberi fleksibiliti dalam kerangka Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di kampus.
Menerusi Academic Bank Credits (ABC) yang merupakan depositori digital berpusat akan membolehkan para mahasiswa menjalankan PdP merentas institusi, mod dan tempoh pembelajaran.
Elemen tadbir urus tidak boleh diketepikan dalam arus transformasi perkembangan IPT negara yang semakin kompleks.
Ketangkasan tadbir urus IPT turut diperkemaskan menerusi budaya kecemerlangan prestasi yang dikawal selia oleh KPT.
Autonomi yang diberikan kepada IPT perlu beriringan dengan integriti, nilai mulia dan akauntabaliti dalam membuat keputusan dan mentadbir urus universiti.
Seluruh warga IPT negara akan dipandu melalui penerapan prinsip tiga serangkai iaitu tangkas-cemerlang-kualiti. Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vakasional(TVET) turut dinobatkan KPT.
TVET diangkat sebagai komponen strategik kelestarian pembangunan negara bagi mengikis persepsi masyarakat yang menganggapnya sebagai pendidikan alternatif kelas kedua.
Memahami sumbangan sektor elektrik dan elektronik (E&E) sebagai pemaju pertumbuhan penting ekonomi Malaysia, KPT mengarap empat inisiatif POLYCC: Pelopor Pendidikan Teknikal dan Profesional Negara.
POLYCC diperkasakan dengan peluasan status Politeknik Premier, program ijazah pertama berasaskan work-based learning (WBL), pemerkasaan pusat kemahiran semula dan peningkatan kemahiran sektor E&E serta pelan hala tuju pengukuhan kolej komuniti sebagai hab pembangunan komuniti mampan dan inklusif.
KPT memahami peranan alumni dalam memperkasa IPT. IPT diseru melaksanakan inisiatif Alumni Kembali ke Kampus sebagai rakan strategik dan penghubung antara komuniti dan universiti.
Fokus ini disuburkan dengan mengambil kira kelangsungan universiti-universiti tersohor dunia yang mengembleng alumni mereka bagi tujuan keilmuan dan kewangan seperti Universiti Havard, Universiti Oxford, Universiti Cambridge dan sebagainya.
Sudah tiba masanya, alumni universiti-universiti tanah air menjadi dermawan bagi memakmurkan keilmuan dan pendanaan IPT negara.
Mengambil kira keberadaan dunia dalam gelombang AI sebagai pendaya utama, IPT di Malaysia tidak boleh menolak perubahan ini.
IPT telah diminta untuk menerapkan kursus AI dan digitalisasi dalam program-progam pengajian mereka.
AI perlu digabungjalinkan sebagai pelengkap kepada proses PdP bagi meningkatkan kefahaman ilmu yang dipelajari dan kebolehpasaran pelajar.
AI perlu dirangkumkan sebagai pelengkap kepada ekosistem pendidikan tinggi negara.
RPTM 2016-2035 merupakan paksi yang mampu melonjakkan negara untuk berdepan dengan perubahan dan cabaran dunia pendidikan semasa dan jangka panjang.
Fokus yang diberikan bersifat serampang dua mata yakni melestarikan kemakmuran pembangunan negara dan memanusiakan manusia dengan graduan yang berimbang, empati dan berintegriti.
Penulis ialah Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu.