Tuesday, July 21, 2026

Sultan Selangor bertemu bekas banduan bergelar Doktor Falsafah!

Pada 11 Disember 2024, selepas 24 tahun terkurung, Dr Malik akhirnya dibebaskan hasil pengampunan penuh yang diperkenankan oleh Sultan Selangor sempena Hari Keputeraan Baginda.

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

SEMALAM, satu pertemuan yang sarat dengan emosi dan makna telah berlangsung di Istana Selangor. Ia bukan pertemuan biasa, tetapi sebuah detik bersejarah yang menyatukan keinsafan, keadilan dan belas ihsan.

Dr. Malik Yatam, bekas banduan yang pernah menjalani hukuman Tahanan Limpah Sultan (LTS) selama hampir 24 tahun, menerima perkenan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. 

Inilah kali pertama baginda bersemuka secara langsung dengan seorang individu yang pernah dianugerahkan pengampunan penuh oleh baginda sendiri.

Pertemuan hampir sejam itu berlangsung dalam suasana yang hening, sesekali diselubungi rasa sebak dan pilu. 

Ia bukan sekadar pertemuan antara seorang raja dan rakyatnya, tetapi pertemuan antara masa silam yang gelap dengan harapan masa depan yang masih menyala.

Tanpa pengampunan penuh Sultan Sharafuddin, Dr Malik Yatam sudah pasti masih merengkok di Penjara Kajang.

Dr. Malik memulakan kehidupan dalam tahanan sejak tahun 2001 atas kesalahan membunuh ketika usianya baru 14 tahun.

Disebabkan faktor usia ketika kesalahan dilakukan, dia tidak dijatuhkan hukuman mati, sebaliknya menjalani hukuman LTS — hukuman yang tidak menjanjikan tarikh kebebasan. 

Namun di sebalik tembok tinggi dan jeriji besi, dia memilih jalan yang jarang ditempuh iaitu menuntut ilmu.

Bermula dengan menduduki SPM kemudian menyambung pengajian di peringkat ijazah, Dr Malik akhirnya berjaya menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Semuanya dilakukan sepanjang 24 tahun dia menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor sekaliguS menjadikannya prospek pertama di Malaysia mencapai tahap akademik tertinggi itu dari dalam penjara.

Pada 11 Disember 2024, selepas 24 tahun terkurung, dia akhirnya dibebaskan hasil pengampunan penuh yang diperkenankan oleh Sultan Selangor sempena Hari Keputeraan Baginda.

Dalam pertemuan tersebut, Sultan Sharafuddin berkenan bertanyakan khabar tentang kehidupan Dr. Malik selepas dibebaskan serta perancangan masa hadapannya.

Hiba… pertemuan Sultan Sharafuddin dan Dr Malik Yatam.

Baginda dizahirkan amat terharu dengan perjalanan hidup yang dilalui pemuda berasal dari Sabah itu dan bertitah bahawa setiap insan yang benar-benar insaf dan berusaha memperbaiki diri wajar diberi peluang kedua.

Baginda turut menjelaskan bahawa keputusan pengampunan itu dibuat setelah mempertimbangkan secara menyeluruh semua faktor yang dibentangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 24 November 2024.

Sebelum pertemuan berakhir, baginda menasihatkan Dr. Malik agar sentiasa menjaga nama baik keluarga, terus bersemangat membina kehidupan baharu dan menjadikan pengalaman silam sebagai pengajaran, bukan bebanan.

Pertemuan itu berakhir tanpa sorakan, tanpa tepukan sebaliknya hanya dengan rasa keinsafan yang mendalam. 

Ia menjadi bukti bahawa keadilan tidak semestinya berakhir dengan hukuman, dan bahawa belas ihsan, apabila digandingkan dengan perubahan yang tulus, mampu melahirkan sebuah permulaan baharu. — Edisi 9/Selangor Royal Office

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan