DALAM usaha mengurangkan jurang kesihatan dalam kalangan komuniti miskin bandar, Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC), Universiti Malaya baru-baru ini telah mengadakan program khidmat masyarakat di dua lokasi Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang.
Dinamakan Program Literasi Kesihatan untuk PPR (HeLP-PPR), program dengan kerjasama Persatuan Parasitologi dan Perubatan Tropika Malaysia (MSPTM) telah diadakan di PPR Kampung Baru Hicom di Shah Alam serta PPR Lembah Subang 1, Petaling Jaya.
Pensyarah Kanan TIDREC UM, Dr. Norhidayu Sahimin berkata, program berkonsepkan pendidikan kesihatan interaktif itu turut mendapat sokongan kewangan daripada Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC) UM.
” Berbeza dengan pendekatan ceramah tradisional, HeLP-PPR mengetengahkan konsep reruai interaktif yang menumpukan isu kesihatan awam berkaitan komuniti setempat, antaranya COVID-19, influenza, denggi, penyakit bawaan vektor, serta penyakit bawaan makanan dan air seperti leptospirosis,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, antara aktiviti yang paling mendapat perhatian penduduk ialah demonstrasi mencuci tangan dengan betul, yang dianggap sangat relevan dalam kehidupan seharian di kawasan perumahan padat.

Katanya, keunikan pendekatan santai, mesra dan menyeronokkan menjadikan program itu berjaya menarik penyertaan hampir 160 penduduk pelbagai peringkat umur termasuk kanak-kanak, dewasa dan warga emas.
Dr Norhidayu berkata, program tersebut bukan sahaja meningkatkan kesedaran kesihatan, malah memberi kefahaman bahawa penyakit dan kemiskinan mempunyai kaitan rapat.
“Jika rawatan segera tidak diperoleh, ia boleh menjejaskan pekerjaan serta membebankan ekonomi keluarga. Sebaliknya, amalan pencegahan dan pengesanan awal boleh mengelakkan penyakit serius,” katanya.
Beliau berharap kejayaan penganjuran HeLP-PPR kali ini dapat menjadi model pendidikan kesihatan berasaskan komuniti yang diperluas ke lebih banyak PPR di seluruh negara.
“Kesihatan awam bermula dengan kesedaran komuniti. Dengan kefahaman yang kukuh, masyarakat bukan sahaja mampu mencegah penyakit, tetapi turut memastikan masa depan yang lebih terjamin,” katanya. – Edisi 9

