JIKA sebelum ini seni sering dianggap sebagai wadah ekspresi budaya dan hiburan, kini ia diangkat ke peringkat lebih tinggi – sebagai kuasa diplomasi untuk keamanan sejagat.
Galeri Seni Lin Xiang Xiong (LXX) Malaysia melakar sejarah apabila menjalin kerjasama strategik dengan Leaders for Peace, sebuah yayasan berpangkalan di Paris yang dipengerusikan bekas Perdana Menteri Perancis, Jean-Pierre Raffarin.
Pertubuhan itu turut mendapat dukungan oleh lebih 40 tokoh dunia, termasuk bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon dan bekas Menteri Luar Nigeria, Ngozi Okonjo-Iweala.
Melalui inisiatif bertajuk “Menyampaikan Keamanan Melalui Seni”, seni tidak lagi dilihat sekadar hiasan dinding atau pentas budaya, sebaliknya dijadikan alat diplomasi baharu – membina dialog, menghidupkan empati dan mendekatkan peradaban.
Seni sebagai kuasa lembut
Rangkaian program yang bakal dilancarkan meliputi Hadiah Keamanan berbentuk arca simbolik karya artis Myriam Agout, projek seni berbilang budaya, kursus akademik berasaskan seni sebagai penyembuhan, selain persidangan global menghimpunkan artis, diplomat dan pemimpin dunia.
“Keamanan bukan sahaja ditempa di meja rundingan, ia bermula di hati dan minda manusia. Seni bukan cermin pasif masyarakat tetapi instrumen diplomasi yang aktif,” tegas Raffarin ketika mengalu-alukan penyertaan Profesor Lin Xiang Xiong ke Lembaga Pemimpin untuk Keamanan.
Profesor Lin pula melihat seni sebagai jambatan budaya yang mampu mengisi kekosongan bahasa.
“Melalui seni, kita mengubah kesunyian menjadi empati, kepedihan menjadi dialog, dan perpecahan kepada harapan,” ujarnya penuh makna.
Malaysia di tengah pentas global
Pembukaan Galeri Seni LXX di Pulau Pinang Disember ini dijangka menjadikan Malaysia sebagai pusat rantau Asia bagi gerakan “Seni untuk Keamanan”.
Di sinilah bakal disemai benih pemikiran bahawa lukisan, arca, atau bahkan pameran seni boleh menjadi sama bernilai dengan perjanjian diplomatik dalam membina persefahaman.
Lebih daripada sekadar galeri, inisiatif ini menzahirkan wajah Malaysia sebagai negara yang konsisten membawa suara keamanan di pentas antarabangsa.
Dengan pengalaman sebagai perunding dan pendamai konflik, penyertaan Malaysia dalam agenda budaya global ini menambah satu lagi dimensi pada reputasi negara.
Kerjasama antara Galeri LXX dan Leaders for Peace sekali gus memberi isyarat jelas bahawa seni boleh menjadi bahasa universal – bahasa yang menyatukan manusia tanpa mengira bangsa, agama atau sempadan politik. — Edisi 9

