Thursday, June 4, 2026

Meriah… Lebih 120 sertai pencarian bakat baharu MuviiGrind

Ekoran sambutan yang luar biasa, pihak penganjur merancang mengadakan sesi uji bakat kedua dalam masa terdekat.

Mesti Baca

PLATFORM penstriman ASEAN terbaharu, MuviiGrind, membuka tirai pencarian bakat baharu melalui sesi uji bakat drama vertikal sulungnya yang berlangsung di Teedo Hotel, Kuala Lumpur.

Sebagai platform inovatif yang berhasrat memperkaya industri hiburan serantau, MuviiGrind memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi pertama pencarian tersebut, sejajar dengan kedudukan Malaysia sebagai tuan rumah ASEAN ke-47.

Sesi uji bakat yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 6 petang itu berjaya menarik lebih 120 peserta hadir secara fizikal, manakala lebih 480 individu mendaftar dari seluruh negara. 

Ekoran sambutan yang luar biasa, pihak penganjur merancang mengadakan sesi uji bakat kedua dalam masa terdekat.

“Langkah ini bukan sahaja membuka peluang kepada bakat baharu, malah menjadi jambatan mempertemukan suara-suara segar dari seluruh ASEAN dalam dunia hiburan,” kata kenyataan MuviiGrind hari ini.

Pengasas MuviiGrind, Asyraf Afnan (kanan) menerangkan mengenai aplikasi penstriman terbaharu itu kepada tetamu dan penaja.

Panel pemilihan terdiri daripada nama-nama besar industri hiburan tanah air, antaranya Datuk Fauziah Nawi, Rosnah Johari, dan Zila Bakarin, selain pengarah serta penulis skrip prolifik seperti Hafiz Derani, Zaiham Zainal (Curly Jow), dan Rizuan Md Nor (Apple).

Turut hadir memberi pendedahan kepada peserta ialah pelakon Danial Dashuki dan Tiara Suraya, yang dijemput khas untuk berkongsi pengalaman serta panduan menghadapi peringkat pemilihan yang kompetitif.

Sesi berkenaan turut mendapat sokongan padu daripada Teedo Hotel selaku penaja lokasi, manakala Dosz Coffee Malaysia menyediakan lebih 500 cawan minuman percuma kepada peserta serta penganjur.

Pelakon Rosnah Johari turut terlibat dalam pencarian bakat baharu MuviiGrind.

MuviiGrind berkata, pihaknya berhasrat memperluaskan kerjasama dengan pelbagai pihak industri hiburan di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan Filipina.

Selain itu, pemenang festival filem antarabangsa seperti Cinema International Film Festival (Filipina), Piala Citra Festival Film (Indonesia) dan Suphannahong National Film Awards (Thailand) juga dirancang untuk terlibat dalam produksi akan datang, sekali gus memastikan kandungan drama vertikal yang dihasilkan berdaya saing di peringkat serantau. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan