UNIVERSITI Malaya (UM) terus membuktikan komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar apabila seramai 64 sukarelawan berjaya menanam sebanyak 1,100 anak pokok spesies tempatan baru-baru ini.
Ia dilaksanakan menerusi program UMGC x FTS Conservation Project: Urban Forest Initiative yang berlangsung pada 3 dan 4 Januari lalu bertempat di UM Zero Waste Centre (UM ZWC).
Program anjuran Universiti Malaya Green Community (UMGC) di bawah Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (SEKRUM) ini dijayakan dengan kerjasama Free Tree Society Kuala Lumpur (FTS), UM Sustainable Development Centre (UMSDC) serta American Association of Petroleum Geologists (AAPG) UM Student Chapter.
Pengarah UMGC, Muhammad Nabil Mohd Sahidan berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada projek Bangsar Ecological Connector: A Community Driven Rewilding Initiatives, yang bertujuan menghubungkan kawasan Hutan Bandar Denai Pulai dengan Rimba Ilmu bagi mewujudkan koridor biodiversiti yang lebih mampan di sekitar kampus.
Beliau berkata, sepanjang dua hari program, para sukarelawan yang terdiri daripada 50 mahasiswa dan 11 staf UM telah menanam 700 anak pokok pada hari pertama dan baki 400 anak pokok pada hari kedua di bawah bimbingan pegawai FTS. Antara spesies tempatan yang ditanam termasuk belimbing, rambutan dan pegaga.

“Masa terbaik untuk menanam pokok adalah 20 tahun yang lalu. Masa kedua terbaik adalah sekarang. Setiap pohon yang kita tanam hari ini adalah pelaburan untuk udara yang lebih bersih bagi generasi akan datang.
“Saya berharap semangat rewilding ini tidak terhenti di sini, malah dibawa pulang ke rumah dan komuniti masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Koordinator Seksyen Kesukarelawanan dan Khidmat Komuniti, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UM, Muhammad Aimar Adam Roshidi menegaskan bahawa usaha memelihara alam sekitar perlu dilihat sebagai satu tanggungjawab berterusan dan bukan sekadar aktiviti bermusim.
“Program ini bukan sahaja bertujuan memelihara kehijauan, malah menjadi wadah pendidikan yang membentuk jati diri dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa.
“Tanggungjawab menjaga alam sekitar bukan sahaja terhad kepada satu program, tetapi merupakan amanah berterusan yang perlu dipikul oleh setiap individu,” ujar beliau dalam ucapan penutup program.
Kejayaan Urban Forest Initiative bukan sahaja menyumbang kepada pencapaian SDG 13 (Tindakan Iklim) dan SDG 15 (Kehidupan di Darat), malah mencerminkan kerjasama erat antara universiti, badan bukan kerajaan dan komuniti kampus dalam memelihara warisan alam sekitar. – Edisi 9

