KEBANGKITAN India sebagai kuasa ekonomi dan geopolitik baharu dunia dilihat membawa implikasi strategik yang besar kepada Malaysia, khususnya dalam konteks kestabilan serantau, perdagangan, keselamatan dan daya tahan ekonomi.
Menurut Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya, Collins Chong Yew Keat, India kini muncul sebagai antara tonggak utama imbangan kuasa baharu Indo-Pasifik, pada ketika China berdepan kekangan struktur ekonomi dan kemerosotan demografi yang berpanjangan.
“India kini berada di barisan hadapan jaringan kepentingan ekonomi dan geopolitik masa depan rantau ini, bertindak sebagai tonggak kestabilan dan kekuatan dalam daya tahan ekonomi, sokongan keselamatan, jaminan keselamatan makanan dan tenaga, akses teknologi, serta pilihan strategik kepada Indo-Pasifik termasuk Asia Tenggara dan Malaysia,” katanya hari ini.
Beliau berkata, India kekal sebagai ekonomi utama dengan pertumbuhan terpantas dunia, dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 6.4 peratus, jauh mengatasi kebanyakan ekonomi maju.
Tambahnya, dengan KDNK nominal melepasi USD4 trilion dan dividen demografi yang kukuh, India berada di landasan untuk menjadi antara ekonomi terbesar dunia dalam dekad akan datang.

Dalam masa sama, katanya, China sedang berdepan tekanan dalaman termasuk tahap hutang yang tinggi, pasaran hartanah yang rapuh serta penurunan populasi usia bekerja, sekali gus mengehadkan potensi pertumbuhan jangka panjang negara itu.
Mengulas kepentingan kepada Asia Tenggara, Collins Chong menjelaskan bahawa dasar Act East Policy dan inisiatif Made in India yang dipelopori Perdana Menteri India, Narendra Modi, telah meletakkan semula India sebagai kuasa Indo-Pasifik yang lebih aktif dan berpengaruh.
“Dasar ini telah meletakkan semula ASEAN dan perbincangan domain maritim yang lebih luas, dari Laut Andaman hingga ke Selat Melaka, sebagai medan di mana India memainkan peranan secara strategik.
“Kehadiran ini memberikan jaminan baharu kepada rantau yang berdepan risiko dan ketegangan yang semakin meningkat,” katanya.
Collins berkata, Malaysia berpotensi meraih manfaat besar melalui kerjasama dalam sektor pembuatan, semikonduktor, ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui serta teknologi baharu seperti kecerdasan buatan dan fintech.
Selain itu, India juga dilihat sebagai rakan strategik penting dalam aspek keselamatan makanan, selepas negara itu meluluskan eksport khas beras bukan basmati kepada Malaysia pada 2024 ketika rantaian bekalan global tertekan.
Dari sudut pertahanan, Collins Chong berkata, kekuatan ketenteraan India yang semakin berkembang menyediakan jaminan kestabilan kepada rantau ini, khususnya dalam memastikan laluan perdagangan maritim kekal selamat dan terbuka.
Beliau berkata, India kini berperanan sebagai kuasa penstabil yang kredibel, selari dengan kepentingan Malaysia untuk mengelakkan dominasi oleh mana-mana kuasa tunggal di rantau ini.
Beliau turut menyifatkan lawatan Modi ke Malaysia sejak semalam, sebagai titik perubahan penting dalam memperkukuh hubungan dua hala.
“Lawatan Modi merupakan titik perubahan strategik dalam mewujudkan gelombang baharu hubungan yang saling menguntungkan melalui perkongsian pelbagai dimensi berasaskan sejarah, kepercayaan dan aspirasi masa depan bersama, membentuk teras asas bagi kemakmuran, keselamatan dan autonomi jangka panjang Malaysia serta rantau ini,” katanya. – Edisi 9

