Tuesday, July 21, 2026

Kehadiran Trump bawa isyarat baharu kuasa AS di Indo-Pasifik

Lawatan ini menjadi titik pemulihan keyakinan terhadap Washington selepas tempoh pengabaian semasa penggal pertama pentadbirannya.

Mesti Baca

Oleh COLLINS CHONG YEW KEAT

KEHADIRAN Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J. Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Kuala Lumpur bukan sekadar simbol diplomatik tetapi mesej strategik yang membawa makna besar kepada rantau Indo-Pasifik. 

Kehadirannya menandakan kembalinya AS sebagai kuasa yang bersedia menyeimbangkan pengaruh China dan memperkukuh semula jaringan keselamatan serantau.

Trump membawa pendekatan tiga serampang – memperlihatkan AS sebagai kuasa yang kembali aktif, menuntut keadilan dalam hubungan perdagangan dan keselamatan, serta mengingatkan Beijing bahawa era dominasi ekonomi dan politiknya di Asia Tenggara sedang berakhir. 

Lawatan ini menjadi titik pemulihan keyakinan terhadap Washington selepas tempoh pengabaian semasa penggal pertama pentadbirannya.

Rantau Asia Tenggara memerlukan AS bukan sahaja sebagai kuasa ketenteraan, tetapi sebagai rakan ekonomi yang dapat mengimbangi ketidakseimbangan pengaruh China.

Dengan kekuatan ekonomi bernilai lebih USD29 trilion dan perbelanjaan pertahanan hampir USD1 trilion pada 2024, AS masih merupakan kuasa tiada tandingan dalam aspek teknologi, inovasi dan pertahanan global.

Bagi negara-negara ASEAN, hubungan strategik dengan Washington membuka akses kepada pelaburan, teknologi dan pasaran yang diperlukan untuk pembangunan jangka panjang. 

Sumber kritikal seperti nadir bumi, nikel dan getah yang banyak di Malaysia, Indonesia dan Vietnam boleh menjadi asas kerjasama ekonomi baharu yang menguntungkan kedua-dua pihak.

Pendekatan Peace Through Strength yang dipegang Trump memberi isyarat bahawa keamanan hanya dapat dikekalkan melalui kekuatan dan keseimbangan strategik. 

Dalam konteks Laut China Selatan, ini bermakna peningkatan kerjasama pertahanan dan sokongan kehadiran tentera laut AS bagi mengekang tindakan agresif Beijing.

Lawatan Trump ini bukan sekadar tentang AS “kembali” ke Asia, tetapi tentang pembentukan semula landskap kuasa yang lebih adil dan saling menguntungkan. 

ASEAN kini mempunyai peluang memperbetulkan haluan, membina hubungan berdasarkan timbal balik dan memastikan rantau ini kekal bebas, makmur dan selamat di bawah payung keamanan yang lebih seimbang.

Rantau ini memerlukan AS yang kuat dan stabil, kerana AS yang makmur akan membawa kemakmuran kepada dunia – dan AS di bawah Trump mampu menjadi benteng kestabilan yang diperlukan bagi mengekalkan keamanan Indo-Pasifik.

Masa depan Indo-Pasifik tidak diukir oleh Beijing, sebaliknya dibentuk oleh kepimpinan dan kekuatan AS.


Penulis ialah Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaya.
Artikel ini telah disunting bagi disesuaikan dengan gaya penerbitan Edisi 9 - Editor

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan