SIDANG Kemuncak ASEAN 2025 yang baru berakhir di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bukan sekadar acara penuh gilang-gemilang, tetapi menjadi bukti keupayaan Malaysia memimpin dan mengangkat martabat rantau ini ke tahap lebih tinggi.
Menurut Pengerusi Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah, kejayaan penganjuran itu menggambarkan kecekapan diplomasi Malaysia yang mampu menggabungkan perancangan strategik, kesabaran dan kebijaksanaan untuk mencapai persetujuan bersama dalam pelbagai isu penting serantau.
“Apa yang berlaku di dewan KLCC bukan sekadar perarakan diplomatik, tetapi satu ‘balet moden’ penuh koordinasi dan ketelitian, hasil kerja keras hampir dua tahun oleh pasukan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, antara detik bersejarah, kata beliau, ialah kejayaan Malaysia meyakinkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk menghadiri sidang ASEAN buat kali kedua, satu pencapaian diplomatik besar memandangkan rekod keengganan beliau terhadap forum pelbagai hala.
“Kehadiran Trump di bumi ASEAN bukan sekadar simbolik, tetapi mengesahkan kesungguhan Malaysia memulihkan peranan rantau ini dalam percaturan global,” ujar beliau.

Lebih penting, pertemuan itu turut menyaksikan termeterainya Perjanjian Damai Kemboja–Thailand yang diusahakan Malaysia, dan disaksikan sendiri oleh Trump serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perjanjian ini mungkin tidak menyelesaikan semua pertikaian, tetapi ia memulihkan ketenangan dan menjadi asas kepada keamanan berkekalan,” jelasnya.
Kerjasama Geopolitik Baharu
Rencana itu turut menyorot langkah Malaysia memperkukuh kerjasama antara serantau dengan menjemput Brazil dan Afrika Selatan sebagai Guests of the Chair, melengkapkan pendekatan diplomasi “inter-regional” yang lebih luas.
Ia meneruskan kejayaan Malaysia sebelum ini menganjurkan Sidang ASEAN–GCC–China, memperlihatkan keyakinan Malaysia bahawa ASEAN perlu berinteraksi dengan dunia secara matang dan berprinsip, bukan bersembunyi di sebalik sempadan sendiri.
Sidang Kuala Lumpur juga menyambut ulang tahun ke-20 Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), di mana semua negara ahli akhirnya mencapai Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Keamanan dan Kestabilan, iaitu kenyataan bersama pertama dalam tempoh tiga tahun selepas beberapa usaha sebelum ini gagal mencapai konsensus.
“Malaysia dan rakan-rakan ASEAN berjaya menghidupkan semula semangat asal EAS sebagai forum strategik yang membina, bukan medan pertembungan kuasa besar,” kata beliau.
Perdagangan dan Teknologi Diperkukuh
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia turut memanfaatkan peranan itu untuk memperdalam hubungan ekonomi dalam ASEAN, mengurangkan kebergantungan kepada pasaran luar dan menangani risiko tarif global.
Antara langkah utama termasuk:
• Peningkatan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) bagi memodenkan peraturan kastam dan penyelesaian pertikaian perdagangan;
• Naik Taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN–China (ACFTA 3.0) bagi memperluas kerjasama digital dan hijau;
• Kesepakatan awal Perjanjian Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang akan menyeragamkan peraturan data, e-dagang dan pembayaran digital menjelang 2026.
RCEP juga buat pertama kali mengadakan sidang peringkat pemimpin di Kuala Lumpur sejak mula berkuat kuasa pada 2022, dengan tekad meningkatkan pelaksanaan menyeluruh menjelang semakan 2027.
“Cabaran sebenar ASEAN kini ialah memastikan semua perjanjian ini diterjemah menjadi realiti — bukan sekadar wacana,” tegas Mohd Faiz.
Malaysia Sebagai Pemimpin dan Penghubung
Tambah beliau, kepimpinan Malaysia di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengembalikan keyakinan dunia terhadap keupayaan negara ini menjadi jambatan antara kuasa besar.
“Pendekatan beliau menggabungkan prinsip dan pragmatisme, keberanian dan kebijaksanaan. Malaysia kini bukan sekadar didengar tetapi dihormati,” katanya lagi.
Beliau menegaskan, cabaran selepas ini ialah memastikan momentum ini berterusan selepas berakhirnya sidang kemuncak.
“Diplomasi tidak berakhir dengan tamatnya sidang, tetapi mesti diteruskan dalam bentuk institusi, pelaksanaan dan kerjasama yang berkekalan,” ujarnya.
Warisan Kuala Lumpur
Menutup pandangannya, Mohd Faiz menyifatkan penganjuran Malaysia sebagai warisan penting dalam sejarah ASEAN.
“Jika semangat ini terus hidup, kepengerusian Malaysia akan dikenang bukan kerana gemerlapan majlisnya, tetapi kerana keanggunan dan keberhasilan yang dibawanya,” katanya. — Edisi 9

