Tuesday, July 21, 2026

Perjanjian timbal balas buka lembaran baharu perdagangan – Pakar

Perjanjian itu perlu dilihat dalam konteks geopolitik semasa ketika kuasa besar dunia mula menukar pendekatan daripada Perdagangan Bebas kepada Perdagangan Adil - Liyana Marzuki

Mesti Baca

PERJANJIAN Timbal Balas Perdagangan Malaysia–Amerika (ART 2025) yang dimeterai baru-baru ini membuka lembaran baharu hubungan ekonomi dua hala antara Kuala Lumpur dan Washington.

Biarpun ada suara sumbang yang mendakwa ia bakal menggadai kedaulatan negara, hakikatnya perjanjian tersebut adalah langkah strategik bagi mempertahan kedudukan eksport Malaysia dan mengelak negara daripada terperangkap dalam perang dagang global yang semakin sengit.

Menurut seorang peguam, Liyana Marzuki, perjanjian itu perlu dilihat dalam konteks geopolitik semasa – ketika kuasa besar dunia mula menukar pendekatan daripada Perdagangan Bebas (Free Trade) kepada Perdagangan Adil (Fair Trade).

Beliau berkata, sebelum ini, dasar ekonomi global banyak berlandaskan konsep perdagangan bebas, yang membolehkan perdagangan rentas sempadan tanpa halangan tarif atau sekatan. 

“Namun selepas lebih dua dekad, negara maju seperti AS mula merasai kesan negatif dasar tersebut apabila negara membangun, khususnya China, muncul sebagai kuasa ekonomi baharu,” kata bekas Peguam Kanan Persekutuan itu hari ini.

Bagaimanapun, katanya, Presiden AS, Donald Trump telah mengubah haluan kepada konsep perdagangan adil yang menekankan prinsip timbal balik jika sesuatu negara boleh menjual barangan ke AS tanpa cukai, negara itu juga menuntut keistimewaan serupa.

LIYANA MARZUKI

“Langkah itu turut menjadi asas kepada perang tarif yang sedang berlaku, apabila Washington menaikkan cukai import terhadap negara yang mempunyai defisit perdagangan besar dengan AS,” katanya.

Dalam konteks ASEAN, Liyana berkata, Malaysia muncul sebagai negara pertama yang menamatkan rundingan ART dengan AS.

Hasilnya, kadar tarif yang pada mulanya dicadang setinggi 25 peratus berjaya direndahkan kepada 19 peratus sahaja.

“Langkah ini dilihat sebagai kejayaan rundingan yang penting dan melambangkan keupayaan Malaysia berunding secara matang dalam mempertahan kepentingan nasional,” kata beliau yang juga pempengaruh media sosial.

Perjanjian tersebut dijangka membawa sekurang-kurangnya lima manfaat utama kepada Malaysia, antaranya mengelakkan kenaikan tarif tinggi, mengekalkan akses pasaran bernilai RM200 bilion, menarik pelaburan serta teknologi baharu, memperkukuh kedudukan strategik Malaysia di rantau ASEAN, dan mengelakkan risiko perang dagang.

Manakala bagi AS pula, ART memberi ruang untuk mengurangkan defisit perdagangan dengan Malaysia, membuka pasaran baharu untuk produk AS seperti kimia, mesin, besi dan barangan digital, serta mengukuhkan kawalan terhadap rantaian bekalan strategik, khususnya dalam sektor semikonduktor dan nadir bumi.

Selain itu, ART juga turut membantu Washington mengukuhkan kembali pengaruhnya di rantau Asia Tenggara yang sebelum ini dikuasai pelaburan China.

Bertentangan dengan dakwaan pihak tertentu, Liyana berkata, ART bukanlah perjanjian berat sebelah atau penyerahan kedaulatan. 

Sebaliknya, jelas beliau, setiap syarat dan tindakan tertakluk kepada prosedur undang-undang serta mekanisme penyelesaian pertikaian dua hala yang telah dipersetujui bersama.

Katanya, sekiranya berlaku pelanggaran syarat, kedua-dua pihak boleh membawa perkara itu ke meja rundingan atau ke peringkat timbang tara antarabangsa. 

“Ini menunjukkan perjanjian tersebut mempunyai kawalan institusi yang kukuh dan bukan alat tekanan sehala,” katanya yang pernah terlibat dalam Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) AS dan Perjanjian Perdagangan Bebas RCEP ketika bertugas di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Mengulas mengenai tuduhan konon Malaysia akan “hilang RM1 trilion”, beliau berkata, isu tersebut juga telah disangkal oleh pihak berkuasa. 

Katanya, jumlah tersebut bukanlah dana kerajaan atau kerugian negara, sebaliknya nilai unjuran dagangan antara syarikat Malaysia dan Amerika sepanjang tempoh perjanjian.

Begitu juga dakwaan kehilangan kedaulatan negara, Malaysia masih mengawal dasar ekonominya sendiri, dan tiada undang-undang atau tanah negara diserahkan kepada pihak luar.

Liyana berkata, walaupun ART membawa banyak peluang namun beberapa kebimbangan juga perlu diambil perhatian. 

Antaranya, kemungkinan tekanan daripada AS dalam isu hak buruh, harta intelek dan pasaran digita serta keperluan memperkukuh industri kecil tempatan agar tidak terpinggir apabila pasaran dibuka lebih luas.

Selain itu, katanya, perjanjian jangka panjang seperti ini memerlukan pemantauan berterusan dan laporan berkala kepada Parlimen supaya kesannya dapat dinilai secara telus.

Liyana berkata, perjanjian ART 2025 bukanlah perjanjian “syaitan” seperti digambarkan sesetengah pihak.

Sebaliknya, ia adalah usaha realistik untuk menyesuaikan Malaysia dengan landskap perdagangan global yang semakin kompleks.

“Yang berunding bukan ahli politik semata-mata, tetapi penjawat awam berpengalaman yang mewakili kepentingan negara. 

“Malah, ketika parti pembangkang kini menjadi kerajaan suatu masa dahulu, merekalah juga yang terlibat dalam rundingan perjanjian perdagangan lain seperti CPTPP,” katanya.

Sebagai rakyat, yang penting ialah memahami perjanjian ini secara rasional menilai risikonya, mengambil peluangnya, dan memastikan pelaksanaannya berpaksikan kepentingan nasional.

“Malaysia mungkin negara kecil, tetapi bukan mudah diperkotak-katikkan.

“Dalam dunia perdagangan moden, kekuatan bukan hanya pada saiz ekonomi, tetapi pada kebijaksanaan berunding dan keberanian membuat keputusan,” tegas beliau. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan