Thursday, June 4, 2026

Tengku Zafrul jawab isu perjanjian ‘berat sebelah’ dengan AS

Hasil perjanjian tersebut Malaysia berjaya mengurangkan kadar tarif AS dari 25 peratus kepada 19 peratus, serta mendapat pengecualian untuk 1,711 barisan tarif produk utama bernilai RM22 bilion.

Mesti Baca

PERJANJIAN Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang ditandatangani beberapa hari lalu bukan pilihan kita, kata Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Sebaliknya, menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu, ia adalah realiti geopolitik yang perlu Malaysia hadapi untuk pertahan akses ke pasaran eksport terbesar negara.  

“Kepada yang kritik, tolonglah berhujah dengan fakta, bukan fitnah! Kami, Kerajaan MADANI, bertindak pantas dan berprinsip untuk melindungi mata pencarian jutaan rakyat Malaysia,” katanya sambil memaklumkan pihaknya telah mengadakan rundingan sejak enam bulan lalu.

Tengku Zafrul berkata, hasil perjanjian tersebut Malaysia berjaya mengurangkan kadar tarif AS dari 25 peratus kepada 19 peratus, serta mendapat pengecualian untuk 1,711 barisan tarif produk utama bernilai RM22 bilion.

Mengenai pembelian berjumlah RM1 trilion dari AS, beliau berkata, senarai perolehan di bawah perjanjian tersebut bukan perkara baharu. 

“Saya ada terangkan pada bulan Ogos yang lepas di Parlimen. Pembelian-pembelian yang bakal dilakukan oleh syarikat-syarikat berkenaan merupakan cadangan perolehan sedia ada syarikat dan tidak melibatkan sebarang dana daripada kerajaan. 

“Apa yang kita buat, kita tanya kepada syarikat pelbagai negara (MNC) yang beroperasi di Malaysia dan juga GLC, apakah perancangan pembelian mereka dari AS dan kita senaraikan semua pembelian tersebut. 

“Kalau tak ada tarif pun, memang mereka akan beli juga kerana ia adalah perolehan yang telah dirancang,” jelas beliau.

Sebagai contoh, kata Tengku Zafrul, pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group telah diumumkan pada bulan Mac lalu, jauh lebih awal daripada tarikh pengumuman tarif oleh Presiden Donald Trump sebelum ini.

“Samalah juga dengan cadangan perolehan LNG oleh Petronas. Petronas sebenarnya dari dulu lagi membeli LNG dari pelbagai negara termasuk AS.

“Sebelum pengumuman tarif pun Petronas dah beli LNG dari AS. Tapi sebab kita tak kerja di Petronas, bila dengar pengumuman sahaja, terus melompat, sedangkan perkara ini bukan baharu. 

“Perolehan ini merupakan sebahagian daripada strategi komersial Petronas bagi memastikan kestabilan bekalan serta memenuhi komitmen kontrak domestik dan antarabangsa,” katanya.

Berhubung isu garis merah negara seperti hak Bumiputera dan standard halal, Tengku Zafrul menegaska, kerajaan tetap mempertahankan dan tiada satu klausa pun yang melanggarnya.

Katanya, ART adalah pagar yang dibina bagi memastikan tindakan selepas ini mesti melalui rundingan, bukan ugutan unilateral, sekaligus memastikan kedaulatan negara tetap terpelihara. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan