PERJANJIAN Kerjasama Ekonomi Komprehensif antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (MY-UAE CEPA) mencatatkan rekod baharu bagi negara sebagai perjanjian perdagangan bebas terpantas dimuktamadkan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abd Aziz berkata, ini kerana perjanjian tersebut berjaya dimuktamadkan dalam tempoh hanya 11 bulan.
Beliau berkata, MY-UAE CEPA dijangka akan meningkatkan jumlah perdagangan dua hala sekurang-kurangnya 60 peratus dalam tempoh lima tahun, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.
“Ini adalah bukti komitmen dan kerjasama kedua-dua pihak.
“Kejayaan memuktamadkan rundingan ini adalah peristiwa penting dalam usaha mengeratkan hubungan ekonomi antara Malaysia dan UAE,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.
Pemeteraian perjanjian tersebut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UAE merangkap Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan.
CEPA juga merupakan perjanjian perdagangan bebas yang pertama antara Malaysia dengan sebuah negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Tengku Zafrul berkata, beliau yakin CEPA akan menjadi pemangkin integrasi ekonomi yang lebih rapat, serta menyumbang kepada kemakmuran bersama dan pertumbuhan yang lebih mampan untuk kedua-dua negara.
“Tetapi usaha kita tidak terhenti di sini. Sasaran kita selepas ini, rundingan perjanjian bebas bersama GCC yang terdiri daripada Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan UAE,” katanya. – Edisi 9

