PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berangkat ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi menghadiri Abu Dhabi Sustainability Week (ADSW).
Perdana Menteri berkata, kehadiran beliau ke program tersebut atas jemputan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE merangkap Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.
Anwar berkata, semasa lawatan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden UAE merangkap Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, dan rakan sejawat, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.
“Usai lawatan kerjas di UAE, saya akan berlepas ke London, United Kingdom sebagai usaha untuk memperkukuhkan hubungan strategik kedua-dua negara termasuk pertemuan dengan rakan sejawat saya Perdana Menteri Britain, Keir Starmer.
“Saya kemudiannya akan ke Brussels, Belgium untuk menghadiri beberapa agenda penting termasuk pertemuan dengan Perdana Menteri Belgium Alexander De Croo selain sesi bersama Presiden Majlis Eropah Antonio Costa,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.
Ini merupakan lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke luar negara bagi tahun 2025.
Anwar berkata, usai rencana di Brussels, beliau akan mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland.
Beliau berkata, WEF merupakan platform penting dalam membahaskan pelbagai isu dunia antaranya ketidaktentuan perubahan iklim, kepesatan inovasi dalam kecerdasan pembuatan dan kepantasan teknologi.
“Mohon dititipkan doa agar perjalanan saya dan delegasi Malaysia dipermudah selain kesemua perancangan yang diatur mendapat keberkahan lantas membawa hasil yang besar kepada rakyat dan negara, Insya-Allah,” katanya.- Edisi 9