DALAM usaha berterusan untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mula menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM2,100 setahun kepada 700,000 penerima terpilih bermula esok.
Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, bantuan itu akan disalurkan secara langsung melalui MyKad sekali gus mempermudah proses penerimaan bagi golongan yang layak.
Beliau berkata, jumlah pemberian bantuan menunjukkan peningkatan ketara berbanding kadar bantuan tahun lalu yang hanya berjumlah RM1,200 setahun.
Menurutnya, peningkatan itu dilaksanakan rentetan daripada reformasi kewangan serta usaha gigih kerajaan dalam meningkatkan pendapatan negara.
“Alhamdulillah, pertambahan hasil negara kesan reformasi kewangan dan kerja keras kerajaan memungkinkan kadar bantuan SARA ditingkatkan daripada RM1,200 pada tahun lalu kepada RM2,100 tahun ini,” kata beliau menerusi media sosialnya hari ini.
Beliau berkata, penambahbaikan kepada SARA itu juga mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, sejajar dengan peruntukan Belanjawan 2025.
“Peningkatan ini menyaksikan jumlah keseluruhan peruntukan untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA mencapai RM13 bilion, jumlah tertinggi dalam sejarah, berbanding RM10 bilion pada tahun lalu,” katanya.
Dalam usaha memastikan hasil negara dinikmati secara saksama, Anwar menegaskan, nilai ihsan dan kemanusiaan akan terus menjadi teras kepada pentadbiran.
“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus bekerja keras bagi membolehkan lebih banyak hasil negara dikongsikan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Bantuan SARA ini dijangka memberikan kelegaan kepada golongan miskin dan miskin tegar, membantu mereka menangani cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.
Kerajaan juga menyeru agar penerima memanfaatkan bantuan tersebut dengan sebaik-baiknya demi kesejahteraan diri dan keluarga. – Edisi 9

