Monday, July 20, 2026

3.1 juta bujang terima SARA dikreditkan terus ke MyKad — Anwar

Langkah penambahbaikan SARA itu digubal dengan penuh iltizam bagi memastikan bantuan disalurkan secara lebih tersusun, bersasar dan berterusan...

Mesti Baca

SERAMAI 3.1 juta individu bujang mula menerima manfaat Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bermula hari ini apabila bantuan tersebut dikreditkan secara terus ke dalam MyKad masing-masing, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, langkah penambahbaikan SARA itu digubal dengan penuh iltizam bagi memastikan bantuan disalurkan secara lebih tersusun, bersasar dan berterusan, sejajar dengan tekad Kerajaan MADANI untuk meringankan beban kos sara hidup yang sedang dihadapi rakyat.

“Seperti yang telah saya janjikan, bermula hari ini seramai 3.1 juta individu bujang akan menerima manfaat SARA yang dikreditkan secara terus ke dalam MyKad masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Anwar, inisiatif tersebut bukan sekadar bantuan tunai, sebaliknya turut berperanan merancakkan ekonomi tempatan melalui penglibatan lebih luas peniaga kecil dan sederhana.

“Penyertaan kedai-kedai kecil dalam rangkaian SARA telah diperluaskan kepada 10,000 premis di seluruh negara agar kekayaan negara tidak berlegar di pusat semata-mata, tetapi mengalir kembali kepada peniaga kecil di bandar, di pekan dan di desa,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan MADANI komited memastikan tiada rakyat yang tercicir dan tiada yang terpinggir dalam usaha memenuhi keperluan asas kehidupan, khususnya golongan berpendapatan rendah dan terkesan dengan tekanan kos sara hidup.

“Insya-Allah, kerajaan akan terus memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan. Inilah semangat MADANI — kita berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dan melangkah bersama membina masa depan negara berteraskan keadilan, kemakmuran dan kesejahteraan untuk semua,” ujarnya.

Pelaksanaan SARA merupakan antara teras utama Kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan pengagihan kekayaan secara adil serta pengukuhan jaringan keselamatan sosial bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi negara. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan