Tuesday, July 21, 2026

UMNO Rumah Bangsa: Penyatuan atau sekadar retorik terakhir?

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan bersama media arus perdana. Keutamaan dalam penulisan berkaitan politik, sukan dan teknologi maklumat.

APABILA Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melaungkan UMNO sebagai Rumah Bangsa, ia harus dibaca sebagai satu pengakuan yang jarang diucapkan secara terbuka, iaitu  politik Melayu sedang berada pada tahap paling rapuh sejak merdeka.

Bukan kerana Melayu kekurangan parti. Tetapi kerana terlalu banyak parti Melayu yang saling bercakaran antara satu sama lain.

Hakikat yang pahit tetapi perlu diterima ialah ini setiap perpecahan Melayu selepas UMNO melemah hanya melahirkan ketidakstabilan, bukan kekuatan baharu. 

Pas kuat di negeri, Bersatu dominan seketika di pusat, parti-parti serpihan muncul dan lenyap tetapi tiada satu pun berjaya menggantikan peranan UMNO sebagai paksi kuasa nasional.

Namun persoalannya, adakah UMNO hari ini masih layak mengaku sebagai Rumah Bangsa, atau sekadar menuntut kepulangan tanpa terlebih dahulu membersihkan rumahnya sendiri?

Seruan kembali ke rumah asal politik Melayu tidak boleh bersandar pada jasa lampau semata-mata. Rumah yang atapnya bocor, lantainya reput dan pintunya berdebu tidak akan menarik sesiapa untuk pulang, walaupun itu rumah warisan.

Jika UMNO benar-benar mahu menjadi Rumah Bangsa, ia mesti berani melakukan sesuatu yang selama ini dielakkan iaitu pembetulan dalaman yang menyakitkan tetapi perlu. 

Ini termasuk menoktahkan budaya feudal politik, kronisme berwajah baharu dan kecenderungan mempertahankan individu melebihi prinsip.

Tanpa reformasi ini, gagasan Rumah Bangsa berisiko dilihat hanya sebagai strategi menyelamatkan kuasa, bukan agenda penyatuan ummah.

Cadangan Musyawarah Nasional Agenda Politik Melayu pula menuntut perhatian lebih serius. Secara prinsip, ia langkah yang tepat. 

Namun dalam realiti politik UMNO, ia juga berpotensi menjadi latihan kosmetik jika tidak ditangani dengan jujur.

Musyawarah tidak bermakna jika keputusan telah ditetapkan terlebih dahulu. Dialog bukan musyawarah jika kritikan ditapis dan suara luar hanya dijadikan hiasan. 

UMNO perlu menjawab satu persoalan asas iaitu adakah parti ini benar-benar bersedia mendengar, atau sekadar mahu mengesahkan apa yang sudah diputuskan?

Sejarah UMNO sendiri membuktikan bahawa banyak proses perundingan dalaman akhirnya gagal kerana takut kepada perubahan sebenar. 

Jika musyawarah ini mengulangi skrip lama, ia hanya akan menambah kekecewaan, khususnya dalam kalangan generasi muda Melayu yang semakin sinikal terhadap politik arus perdana.

Ucapan Presiden UMNO juga secara tersirat mengakui satu kebenaran yang selama ini dinafikan bahawa keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan membawa kos sokongan Melayu yang tinggi. Namun, mengakui hakikat ini sahaja tidak mencukupi.

UMNO perlu menjawab persoalan yang bermain di benak akar umbi: “adakah UMNO sekadar bertahan demi kestabilan negara, atau terperangkap kerana tiada pilihan lain?”

Selagi persoalan ini tidak dijawab dengan jelas, selagi itu sentimen “UMNO parti tempelan” akan terus menghantui. 

Seruan agar UMNO dihormati tidak boleh ditegaskan melalui retorik, tetapi mesti dibuktikan melalui keupayaan mempengaruhi dasar, bukan sekadar menyokong keputusan.

Hakikatnya, gagasan UMNO Rumah Bangsa mungkin merupakan peluang terakhir untuk memulihkan politik Melayu yang semakin kehilangan arah.

Tetapi peluang ini datang bersama risiko besar — kegagalan akan mempercepatkan kejatuhan kepercayaan yang sedia rapuh.

Penyatuan Melayu tidak akan berlaku dengan laungan semata-mata. Ia menuntut keberanian untuk mengakui kesilapan, kesediaan untuk berkongsi kuasa, dan keikhlasan untuk berubah.

Jika UMNO hanya mahu semua kembali tanpa berubah apa-apa, Rumah Bangsa ini akan kekal kosong. 

Tetapi jika UMNO benar-benar sanggup merombak diri, mungkin inilah detik UMNO kembali menjadi rumah masa depan dan bukannya rumah kenangan. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan