
APABILA Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melontarkan gagasan Rumah Bangsa UMNO, ramai pada awalnya menganggap ia sekadar retorik politik biasa.
Namun reaksi yang muncul daripada pihak lawan, khususnya Pas menunjukkan bahawa idea tersebut sebenarnya menyentuh saraf paling sensitif dalam percaturan politik orang Melayu hari ini.
Rumah Bangsa bukan sekadar slogan perpaduan dalaman sebaliknya ia adalah strategi politik yang berpotensi mengubah semula landskap kuasa dalam kalangan parti Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 Malaysia (PRU16).
Pas sedar ancaman sebenar
Sejak pasca PRU-15, Pas menikmati keuntungan politik yang besar hasil perpecahan dalaman UMNO apabila tokoh-tokoh UMNO keluar parti, digantung atau dipecat.
Sebahagian daripadanya mencari tempat baharu dalam politik nasional sama ada menyertai Bersatu atau bergerak secara bebas.
Ini secara tidak langsung melemahkan UMNO sebagai parti dominan Melayu, sekali gus membuka ruang kepada Pas memperluaskan pengaruhnya.
Namun gagasan Rumah Bangsa mengubah persamaan tersebut.
Jika bekas tokoh UMNO kembali ke pangkuan parti – termasuk nama-nama seperti Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin – ia bermakna UMNO bukan sahaja menyatukan semula kepimpinan lamanya, malah berpotensi memulihkan jaringan politik yang pernah tercerai-berai.
Pas sedar tentang hal ini. Atas sebab itulah sebenar Pas mula menunjukkan reaksi sinis terhadap Rumah Bangsa.
Sindiran “rumah hantu” bukan kebetulan
Apabila Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyindir bahawa Rumah Bangsa itu kononnya “banyak hantu”, kenyataan tersebut sebenarnya lebih bersifat psikologi politik.
Dalam politik, sindiran seperti itu sering muncul apabila pihak lawan melihat sesuatu gerakan berpotensi menjadi ancaman mereka.
Jika Rumah Bangsa benar-benar tidak signifikan, Pas tidak perlu pun memberikan reaksi sedemikian. Tetapi apabila sebaliknya, jelas ada suatu kebimbangan di pihak Pas.
Lebih menarik, tokoh seperti Datuk Dr Ibrahim Ali turut memperlekeh kemasukan semula tokoh seperti Khairy Jamaluddin atau Datuk Seri Hishammuddin Hussein — dua bekas pemimpin UMNO yang dipecat dan digantung — ke dalam parti.
Siapa Ibrahim nak persoal keputusan UMNO?
Harus diingat politik Malaysia membuktikan bahawa personaliti dan jaringan politik masih memainkan peranan besar dalam menentukan kekuatan sesebuah parti.
Baik Khairy mahupun Hishammuddin, kedua-duanya mempunyai pengaruh dan kekuatan sendiri untuk memperkukuhkan UMNO.
Politik Melayu sedang memasuki fasa baharu
Realitinya, politik Melayu hari ini sebenarnya berada dalam keadaan yang sangat cair.
Perpecahan dalam Bersatu lantaran pertembungan kepentingan dan perebutan kuasa menjadikan parti itu semakin rapuh dan hilang kekuatan.
Apatah lagi apabila Perikatan Nasional (PH) kini dikuasai oleh pimpinan daripada Pas, menyerlahkan bahawa Bersatu semakin hilang kekuatan.
Dalam keadaan ini, jika UMNO berjaya memanggil pulang tokoh-tokoh yang pernah keluar parti serta mengaktifkan semula rangkaian lamanya, ia sudah pasti dapat menghasilkan satu kesan domino dalam politik Melayu.
UMNO mungkin tidak kembali ke zaman dominasi mutlaknya seperti sebelum PRU-14 tetapi penyatuan semula kepimpinan lama sekurang-kurangnua memberi kekuatan kepada UMNO untuk kembali menjadi pemain utama. Inilah yang dibimbangi musuh-musuh UMNO khususnya Pas.
PRU-16 medan sebenar
Walau bagaimanapun segala-galanya akan diuji dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal diadakan dalam tempoh enam bulan ini atau dalam PRU-16 yang dijangka tahun depan.
Jika Rumah Bangsa hanya sekadar retorik makan ia akan tenggelam seperti banyak slogan-slogan politik sebelum ini.
Namun jika ia benar-benar menjadi gerakan penyatuan, Pas dan sekutunya berdepan cabaran yang jauh lebih besar daripada yang mereka jangkakan.
Sejarah dunia telah membuktikan bahawa dalam politik, musuh paling berbahaya bukanlah parti yang kuat tetapi parti yang pernah lemah kemudian bangkit semula dengan pengalaman, jaringan dan semangat baharu. — Edisi

