BEKAS Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein disahkan telah menyerahkan permohonan rayuan untuk kembali ke pangkuan parti di bawah gagasan Rumah Bangsa.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini yang mengakui mempunyai salinan permohonan yang dibuat Ahli Parlimen Sembrong itu kepada Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, selain Khairy Jamaluddin, Hishammuddin yang digantung keahlian UMNO selama enam tahun sejak Januari 2023 itu antara pemimpin UMNO yang telah menyerahkan permohonan tersebut.
“Berita yang cukup syahdu dan menggembirakan di malam-malam terakhir Ramadan.
“Selain Khairy Jamaluddin, ramai lagi pemimpin-pemimpin yang pernah menabur jasa telah menyerahkan surat permohonan untuk kembali bersama memperkuatkan wadah perjuangan Rumah Bangsa ini termasuk Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.
“Moga-moga Allah memberkati UMNO sebagai Rumah Bangsa ini untuk terus memperjuangkan agenda Islam, Melayu dan Negara keseluruhannya.
“Alhamdulillah Ya Allah Kami bersyukur atas nikmat-Mu ini!,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan telah menerima permohonan daripada Khairy, yang dipecat daripada UMNO kerana melanggar disiplin parti terkait Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), untuk kembali bersama perjuangan parti itu.
Sebelum ini, UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahliannya untuk kembali ke pangkuan parti itu tanpa syarat.
Pelawaan itu sebagai adalah selari dengan agenda Rumah Bangsa yang dicetuskan Zahid semasa Perhimpunan Agung UMNO 2025 Januari lalu. — Edisi 9

