Sunday, July 19, 2026

Tiada hajat peribadi, cukup sebagai anak kapal biasa – Khairy

Cukuplah baginya diberi peluang untuk menjadi ahli biasa agar dapat membantu memperkasakan semula UMNO.

Mesti Baca

BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan kembalinya beliau ke Rumah Bangsa UMNO tidak mempunyai syarat, permintaan atau hajat peribadi.

Sebaliknya, beliau berkata, cukuplah sekiranya diberi peluang untuk menjadi ahli biasa agar dapat membantu memperkasakan semula UMNO.

“Jika ada papan yang longgar, saya akan membantu mengetatkannya. Jika ada paku yang perlu dipalu, saya akan bantu memalunya. 

“Jika ada palka yang perlu ditutup rapat agar air tidak masuk, saya akan pastikan ia terkunci kemas.

“Yang penting, bahtera bangsa ini terus berlayar meredah ombak dan badai zaman, membawa bersama harapan besar: penyatuan sebuah bangsa yang bersatu, teguh dan bermaruah,” katanya hari ini.

Khairy yang dipecat daripada UMNO pada Januari 2023 lalu menyerahkan surat rayuan untuk kembali ke pangkuan parti kepada Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.

Khairy yang kini aktif sebagai penyampai radio dan audio siar (podcast) berkata, beliau bersyukur kerana diberi untuk kembali meneruskan khidmat bakti dalam perjuangan demi agama, bangsa dan negara. 

“Dengan jiwa besar Presiden, beliau telah menerima saya kembali ke rumah lama saya, satu-satunya rumah yang saya kenali.

“Saya menghargai keterbukaan dan kebesaran hati beliau dalam membuka ruang untuk kita melangkah ke hadapan demi memperkukuh perjuangan parti,” katanya.

Beliau menjelaskan, rayuan yang dibuat adalah memohon secara rasmi agar pemecatan keahliannya  daripada UMNO dibatalkan dan nombor keahlian asalnya diaktifkan kembali.

Sehubungan itu, bekas Ahli Parlimen Rembau itu berharap agar Presiden UMNO, Majlis Tertinggi UMNO dan Jawatankuasa Rumah Bangsa dapat mempertimbangkan hasrat terseburlt dengan sewajarnya. 

“Di saat politik tanah air berdepan dengan ketidaktentuan dan lautan bergelora, sangat penting bahtera perjuangan bangsa – UMNO – yang ditubuhkan untuk menyatukan orang Melayu dan membangunkan negara untuk seluruh rakyat Malaysia diperkuatkan,” katanya.  —  Edisi 9

Terkini

Layan ‘final’ Piala Dunia dan Semarak Subuh bersama TPM

PASUKAN mana pilihan anda dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026, awal pagi ini? Sepanyol atau Argentina? Para peminat bola sepak,...

Lagi Artikel Berkaitan