DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan menerima surat rayuan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk kembali ke pangkuan parti itu malam tadi.
Presiden UMNO itu berkata, beliau secara peribadi menerima rayuan bekas Ahli Parlimen Rembau dan menteri Kabinet itu yang kini bergiat aktif sebagai penyampai radio dan audio siar (podcast).
“Dalam keberkatan malam ke-26 Ramadan semalam, saya menerima kunjungan saudara Khairy Jamaluddin, yang hadir menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama UMNO.
“Inilah antara makna sebenar Rumah Bangsa. Sebuah ikhtiar untuk menemukan semula yang pernah berpisah, merapatkan kembali yang pernah berjauhan, dan menghimpunkan semula kita dalam satu keluarga besar perjuangan.
“Insya-Allah, secara peribadi saya telah menerima permohonan ini dan akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk diperhalusi dan diperakukan sewajarnya,” katanya hari ini.
Zahid berkata, dalam perjalanan perjuangan beliau seringan menyebut bahawa ia biarlah bagai biduk lalu, kiambang bertaut.
“Yang lebih utama ialah mencari jalan penyatuan, bukan membiarkan perpecahan terus memisahkan kita,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap Rumah Bangsa akan menjadi asas untuk mempertemukan semula hati-hati yang pernah terpisah, memperkukuh saf perjuangan, dan mengembalikan kekuatan UMNO sebagai induk politik orang Melayu dan umat Islam di tanah air.
Sebelum ini, UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahliannya untuk kembali ke pangkuan parti itu tanpa syarat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu juga mempelawa mana-mana individu yang mahu bersama Rumah Bangsa agar menyertai UMNO.
Pelawaan itu sebagai kesinambungan agenda Rumah Bangsa yang dicetuskan beliau semasa Perhimpunan Agung UMNO 2025 Januari lalu.
Khairy dipecat daripada keahlian UMNO pada Januari 2023 kerana melanggar disiplin parti ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Sejak itu, Khairy bergiat aktif sebagai penyampai radio serta mengendalikan audio siar Keluar Sekejap bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
Bagaimanapun, beliau yang tidak menyertai mana-mana parti selepas itu, dilihat hadir sebagai tetamu pada Perhimpunan Pemuda UMNO sempena PAU 2025 lalu. — Edisi 9

