Sunday, July 19, 2026

Kepelikan kepimpinan pembangkang dan krisis arah tuju PN

Ketika rakyat menilai kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya negeri dan pilihan raya umum akan datang, pembangkang kelihatan masih bergelut menentukan siapa sebenarnya yang memimpin.

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan bersama media arus perdana. Keutamaan dalam penulisan berkaitan politik, sukan dan teknologi maklumat.

KEPUTUSAN pembangkang mengekalkan Hamzah Zainudin sebagai ketua walaupun beliau bukan lagi ahli Bersatu bukan sekadar situasi yang ‘pelik’ tetapi juga mencerminkan krisis kepimpinan yang semakin sukar disembunyikan dalam blok pembangkang negara.

Dalam politik berparlimen, jawatan Ketua Pembangkang bukan sekadar simbol peribadi tetapi ia adalah lambang kekuatan institusi parti itu sendiri.

Apabila individu tanpa parti terus memegang posisi tersebut, mesej yang dihantar kepada rakyat amat jelas iaitu struktur politik pembangkang kini lebih bergantung kepada kompromi kuasa sehingga menolak prinsip organisasi itu sendiri.

Lebih menghairankan, Pas yang memiliki jumlah kerusi terbesar dalam kalangan pembangkang, masih memilih untuk tidak mengambil alih jawatan tersebut.

Sikap berhati-hati ini menimbulkan persoalan apakah parti itu benar-benar bersedia memikul tanggungjawab kepimpinan nasional atau sekadar selesa menjadi kuasa dominan di belakang tabir tanpa risiko politik secara langsung?

Keputusan mengekalkan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang secara tidak langsung meletakkan Muhyiddin Yassin dalam kedudukan yang janggal.

Sebagai pengasas gabungan dan presiden parti utama dalam PN, beliau kini perlu berhadapan situasi di Parlimen yang mana hierarki politik kelihatan terbalik — seorang presiden parti seolah-olah berada di bawah kepimpinan tokoh yang tidak lagi berada dalam partinya sendiri.

Situasi ini bukan sekadar isu individu tetapi menggambarkan kegagalan pembangkang menetapkan garis kepimpinan yang jelas sehingga kini.

Jelas, politik tanpa disiplin organisasi akhirnya melahirkan paradoks: pemimpin yang tidak lagi sehaluan dengan parti masih mengekalkan kuasa, sementara parti pula gagal menegaskan autoriti mereka sendiri.

Lebih pelik apabila ada pula kalangan pemimpin yang tidak lagi sehaluan dengan pucuk pimpinan parti tetapi masih lagi tanpa segan silu menghadiri mesyuarat kepimpinan, sekali gus menunjukkan sempadan akauntabiliti politik pembangkang semakin kabur.

Dalam mana-mana organisasi politik yang stabil, keadaan sebegini hampir mustahil berlaku dan ia perlukan penyelesaian yang tegas.

Kesannya bukan kecil. Persepsi awam terhadap pembangkang kini bukan lagi tentang kekuatan alternatif kerajaan, tetapi tentang perebutan pengaruh dalaman.

Ketika rakyat menilai kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya negeri dan pilihan raya umum akan datang, pembangkang kelihatan masih bergelut menentukan siapa sebenarnya yang memimpin.

Hakikatnya, masalah terbesar Perikatan Nasional (PN) sebagai parti pembangkang di peringkat Persekutuan, bukanlah soal kekurangan tokoh tetapi kompromi yang berlebihan, tanpa arah strategik jelas.

Justeru, selagi kepimpinan tidak disusun semula berdasarkan legitimasi politik yang jelas, pembangkang akan terus dilihat sebagai gabungan yang wujud secara angka tetapi belum matang sebagai kerajaan menunggu. – Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan