UMNO menegaskan peranannya sebagai Rumah Bangsa Melayu yang menjadi wadah penyatuan, teduhan dan tempat kembali seluruh kekuatan politik Melayu demi kestabilan negara, kata Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Berucap dalam Ucapan Dasar Presiden UMNO 2025, beliau menegaskan bahawa UMNO bukan sekadar parti politik, sebaliknya sebuah institusi sejarah yang melahirkan kemerdekaan, membina Perlembagaan, memartabatkan Islam dan mendaulatkan Raja-Raja Melayu.
Menurut beliau, perpecahan politik Melayu yang berlarutan hanya melemahkan kuasa tawar bangsa majoriti, malah menghakis keupayaan Melayu untuk terus memimpin pentadbiran negara dengan berkesan.
“UMNO adalah rumah asal politik Melayu. Rumah ini bukan untuk menyemai dendam, tetapi untuk menyatukan. Bukan untuk retorik amarah, tetapi untuk haluan yang jelas dan jiwa yang besar,” katanya.
Zahid berkata, sejarah membuktikan pelbagai percubaan membina ‘payung besar Melayu’ tanpa UMNO akhirnya gagal kerana tidak berpaut kepada rumah asal bangsa itu.
“Kenapa perlu payung, andai rumah sudah tersergam indah. UMNO adalah Rumah Bangsa, tempat teduhan orang Melayu dan penjaga keseimbangan negara majmuk,” tegasnya.
Sehubungan itu, Zahid mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa sebagai mekanisme rasmi bagi membuka pintu kemasukan semula mana-mana individu, kumpulan atau penyertaan secara en bloc ke dalam UMNO.
Langkah itu, katanya, bertujuan menyambut kepulangan saudara-saudara seperjuangan yang pernah berpisah jalan, selaras dengan tuntutan penyatuan ummah dan kepentingan bangsa Melayu yang kian terhimpit oleh realiti politik semasa.
“Pintu Rumah Bangsa ini sentiasa terbuka luas. Sesat di hujung jalan, kembalilah ke pangkal jalan,” katanya disambut sorakan perwakilan.
Dalam usaha memulihkan keyakinan orang Melayu terhadap UMNO, Zahid turut mengumumkan cadangan penganjuran Musyawarah Nasional Agenda Politik Melayu, melibatkan pertubuhan Melayu, ilmuwan, profesional, pakar dan tokoh masyarakat.
Menurut beliau, musyawarah itu bukan bertujuan membina slogan baharu, sebaliknya merangka gagasan politik Melayu yang segar, realistik dan berpaksikan nilai, sejajar tuntutan zaman serta aspirasi generasi muda.
“Pemulihan sokongan Melayu mesti bermula dengan membetulkan naratif UMNO di mata rakyat. Musyawarah ini adalah medan untuk kita berterus terang, bermuhasabah dan mencari jalan ke hadapan secara kolektif,” katanya.
Zahid menegaskan, UMNO tidak boleh lagi bergantung kepada nostalgia atau emosi semata-mata, sebaliknya perlu menawarkan value proposition baharu kepada rakyat, khususnya golongan muda yang semakin skeptikal terhadap politik kepartian.
Beliau turut menegaskan bahawa keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah berpaksikan amanah kenegaraan dan maslahah ummah, bukan demi kepentingan individu atau kuasa semata-mata.
“UMNO bukan parti tempelan. UMNO adalah tiang seri kestabilan negara. Kesetiaan mesti dibalas dengan penghormatan,” katanya.
Mengakhiri ucapan, Zahid menyeru seluruh ahli UMNO untuk bersatu, mengetepikan kepentingan peribadi dan kembali menjadikan UMNO sebagai wadah penyatuan bangsa Melayu yang berwibawa.
“UMNO ini amanah kita bersama. Jatuh bangunnya adalah tanggungjawab kita bersama. Rumah Bangsa ini mesti kita pelihara agar terus menjadi tempat membina kekuatan, bukan menambah perpecahan,” katanya.

