25.3 C
Kuala Lumpur
Monday, February 10, 2025

Anwar sifatkan lawatannya ke UAE membuahkan kejayaan

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan pertamanya ke luar negara tahun ini ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) membuahkan kejayaan yang bermanfaat untuk rakyat dan negara.

Beliau berkata, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan memainkan peranan lebih luas dan meningkatkan kerjasama strategik dalam beberapa bidang.

Anwar berkata, antaranya ekonomi, pelaburan, pertahanan tenaga boleh baharu, pelancongan, kemampanan dan kecerdasan buatan (AI).

“Ini termasuk meningkatkan sinergi perdagangan dengan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN, selain pelaburan dengan syarikat gergasi UAE,” katanya mengakhiri lawatannya ke UAE hari ini.

Pencapaian utama daripada lawatan itu ialah pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-Emiriah Arab Bersatu (MY-UAE CEPA) yang dijangka meningkatkan jumlah perdagangan dua hala sekurang-kurangnya 60 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Anwar Ibrahim bersama delegasi Malaysi mengakhiri lawatan di UAE. – Foto: PMO

Kejayaan memeterai perjanjian perdagangan bebas (FTA) turut membuka ruang kepada perjanjian yang sama dengan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang lain iaitu Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Arab Saudi, malah dengan GCC itu sendiri.

Lawatan kerja selama tiga hari, yang bermula Ahad lepas merupakan lawatan kedua Perdana Menteri ke UAE sejak Oktober 2023 dan lawatan pertama beliau ke luar negara selepas Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025.

Anwar berkunjung ke UAE untuk menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) 2025 atas jemputan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, yang juga Pemerintah Dubai.

Advertisements

Di kesempatan itu Perdana Menteru mengambil kesempatan bertemu tiga pengurusan kanan syarikat utama dan dana kekayaan berdaulat negara itu iaitu Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA), Mubadala dan Masdar.

Hasil pertemuan tersebut, Masdar merancang untuk melabur di Malaysia secara usaha sama dengan syarikat tempatan bagi projek tenaga hijau, infrastruktur, bateri utama dan memperkukuh grid tenaga.

ADIA pula berkaitan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan rangka kerja Ekonomi MADANI selain projek di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dalam pembuatan termaju.

Ini turut melibatkan pembangunan infrastruktur, teknologi hijau, tenaga boleh baharu (TBB), logistik, kesihatan, ekonomi digital dan pendidikan.

ADIA juga merancang untuk terlibat dalam penyusunan semula Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang melibatkan penguasaan Khazanah Nasional berdasarkan pengalaman dengan lapangan terbang utama seperti di Dubai, Abu Dhabi, Heathrow (London) dan Paris.

ADIA mahu bekerjasama dengan Global Infrastructure Partners (GIP) dan MAHB bagi penstrukturan semula itu dan mahu peranan lebih positif untuk melengkapi GIP dan MAHB.

Mubadala pula membincangkan mengenai pengeluaran gas asli cecair (LNG) dan pembangunan infrastruktur berkaitan gas, selain pembangunan rantaian nilai seperti hidrogen biru serta pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dan projek di JS-SEZ.

Lawatan Anwar ke UAE turut disertai Menteri Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abd Aziz dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Richiamo jalin kerjasama dengan De Xandra, Rico Rinaldi

RICHIAMO Coffee Sdn Bhd mengumumkan kerjasama dengan pengeluar pewangi kenderaan, De Xandra serta pereka fesyen dan pengeluar pakaian terkenal...

Lagi Artikel Berkaitan