Tuesday, July 21, 2026

KKM perkenal dua inisiatif tingkat kesihatan pekerja industri

Mesti Baca

Fazrina K
Fazrina K
Mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam dunia kewartawanan bersama syarikat media terkemuka. Pengkhususan dalam penulisan rencana, laporan khas dan analisis isu-isu semasa.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan dua inisiatif bagi meningkatkan kesihatan pekerja industri khususnya dalam menangani penyakit tidak berjangkit (NCD) dan penyakit paru-paru di Malaysia.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Eliana Ahmad berkata, dua inisiatif itu ialah Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Malaysia 2025–2030 dan Program KOSPEN WOW.

Beliau berkata, Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Malaysia dirangka untuk mengurangkan beban penyakit seperti kanser paru-paru, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), asma dan tuberkulosis.

“Antara langkah yang diambil adalah melalui kawalan ketat terhadap penggunaan rokok, termasuk rokok elektronik, dengan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024.

“Selain itu, inisiatif ini menggunakan teknologi canggih seperti sinar-X berkuasa AI, spirometer, dan imbasan CT dos rendah untuk memperkukuh saringan dan diagnosis awal penyakit.

“Rawatan dan penjagaan paliatif juga diberikan tumpuan melalui kerjasama awam dan swasta, memastikan akses rawatan yang tepat pada masanya untuk mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata dalam satu webinar anjuran Malaysian Industrial Safety and Health Association (MiSHA) hari ini. Turut serta, Setiausaha Agung MiSHA, Mohamad Abdullah Sahry.

Dr Eliana berkata, program KOSPEN WOW pula bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan pekerja melalui pelbagai aktiviti kesihatan di tempat kerja.

Katanya, program tersebut memberi tumpuan kepada pencegahan penyakit seperti kardiovaskular, diabetes dan kanser, dengan melibatkan hampir 12 juta pekerja di Malaysia.

“Dengan menyasarkan pekerja sebagai agen perubahan, program ini mempromosikan aktiviti seperti pemeriksaan kesihatan, senaman berkumpulan, dan kesedaran mengenai kesihatan mental.

“Di samping itu, majikan turut mendapat manfaat melalui peningkatan moral pekerja, produktiviti, dan pengurangan kos perubatan,” katanya.

Dr Eliana berkata, bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya, KOSPEN WOW mengintegrasikan teknologi digital seperti platform MyVAS dan MySejahtera untuk memantau kesihatan pekerja secara sistematik.

Katanya, program ini turut mendapat sokongan daripada sektor awam dan swasta, termasuk syarikat seperti AEON Malaysia serta institusi pendidikan tinggi seperti Universiti AIMST.

Sementara itu, Mohamad berkata, gabungan dua inisiatif itu mencerminkan komitmen KKM dalam menangani cabaran kesihatan melalui pendekatan inovatif dan kerjasama strategik.

“Dengan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat, negara bukan sahaja dapat meningkatkan taraf kesihatan rakyat tetapi juga membina tenaga kerja yang lebih produktif dan berdaya saing,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan