
LAWATAN tiga hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah mencapai pelbagai kejayaan bermakna, sekali gus membuktikan dedikasi beliau yang tidak pernah pudar untuk membawa nama Malaysia ke puncak dunia.
Pertemuan beliau dengan Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, membuahkan hasil yang luar biasa, termasuk pelaburan bernilai RM40.6 bilion (USD8.6 bilion) dalam sektor penting seperti tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa, dan logistik.
Ini adalah pencapaian yang hanya boleh dicapai oleh seorang pemimpin yang benar-benar memahami keperluan rakyat dan masa depan negara.
Dalam dunia yang semakin mencabar dan penuh persaingan, Malaysia terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara yang dinamik dan progresif di bawah kepimpinan Perdana Menteri Malaysia Ke-10 ini.
Lawatan rasmi kedua beliau ke UAE sejak 2023 dan pertama bagi tahun ini bukan sekadar lawatan rasmi biasa tetapi ia adalah simbol kehebatan kepimpinan beliau yang semakin mendapat perhatian di kalangan pengaruh kuasa besar dunia.
Salah satu detik paling bersejarah dalam lawatan itu adalah pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) antara Malaysia dan UAE.

CEPA bukan sekadar perjanjian ekonomi, tetapi lebih penting bagai pintu gerbang yang bakal membuka laluan kepada peluang tanpa had untuk Malaysia di negara-negara Teluk.
Perdana Menteri dengan bijaknya merangka perjanjian ini untuk memperkukuhkan hubungan dagangan dengan negara-negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Melalui CEPA, produk dan perkhidmatan Malaysia kini mempunyai peluang untuk menembusi pasaran Asia Barat dengan lebih mudah, manakala pelabur UAE dijangka membawa masuk teknologi, inovasi, dan modal yang sangat diperlukan untuk memacu pertumbuhan negara kita.
Hasil perjanjian tersebut yang dimuktamadkan dalam tempoh 11 bulan sejak perbincangan awal, dijangka mampu meningkatkan eksport negara sehingga USD13.5 bilion pada 2032.
Langkah ini mencerminkan kebijaksanaan Anwar dalam membina asas ekonomi yang kukuh dan mampan untuk rakyat Malaysia.
Sikap proaktif Perdana Menteri terhadap teknologi turut terserlah dengan kerjasama strategik dalam bidang kecerdasan buatan (AI) bersama UAE.
Melalui Inisiatif Kecerdasan Buatan Malaysia Madani (MMAI), Anwar membuktikan e beliau bukan hanya seorang pemimpin politik, tetapi juga seorang pemimpin teknologi yang memahami pentingnya masa depan digital untuk negara kita.

Kerjasama ini dirangka untuk memanfaatkan teknologi terkini, seperti analitik data lanjutan dan pengkomputeran berprestasi tinggi, bagi menangani cabaran seperti jenayah dan keselamatan awam.
Langkah ini juga melibatkan perancangan dasar awan negara dan peraturan AI yang akan memastikan teknologi digunakan secara beretika dan bertanggungjawab.
Malah, pelaburan besar oleh syarikat global seperti Google, yang mengumumkan pelaburan USD2 bilion (RM9.4 bilion) untuk membina pusat data baharu di Malaysia, menunjukkan keyakinan dunia terhadap potensi negara kita di bawah kepimpinan Perdana Menteri.
Hubungan erat Anwar dengan pemimpin dunia terbukti apabila Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, menyatakan kesediaannya untuk menghadiri Persidangan ASEAN yang akan berlangsung di Malaysia pada hujung Mei tahun ini.
Ini adalah satu penghormatan besar untuk Malaysia dan satu pengiktirafan terhadap peranan penting Perdana Menteri dalam memimpin usaha kerjasama serantau selaku Pengerusi ASEAN.
Persidangan ini dijangka menjadi platform untuk memperkukuhkan hubungan ASEAN dengan GCC, membuka peluang kerjasama yang lebih meluas dalam pelbagai sektor.
Kehadiran Sheikh Mohamed juga memberi isyarat kepada dunia bahawa Malaysia, di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah rakan kongsi yang dipercayai serta dihormati.
Anwar ‘Arkitek’ Malaysia di peringkat global
Perjalanan Perdana Menteri ke UAE bukan sahaja mencatatkan sejarah, tetapi juga menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.
Anwar telah menunjukkan bahawa dengan kepimpinan yang berani, penuh wawasan, dan ikhlas, Malaysia mampu mencipta kejayaan yang luar biasa di pentas antarabangsa.
Beliau bukan sahaja membina hubungan dua hala yang lebih kukuh dengan negara-negara maju, tetapi juga membuka laluan untuk Malaysia menjadi pemimpin dalam teknologi, ekonomi, dan diplomasi serantau.
Hasil pertemuan beliau dengan pemimpin Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) yang merupakan antara syarikat pelaburan gergasi dunia serta dua syarikat konglomerat, Masdar dan Mubadala juga membawa khabar gembira.
Ini kerana ketiga-tiga entiti tersebut menyatakan komitmen masing-masing untuk terus membuat pelaburan dalam pelbagai bidang di Malaysia, yang sekali gus bakal membuka membuka peluang pekerjaan lebih luas dengan rakyat.
Usaha dan dedikasi beliau adalah lambang harapan bagi kita semua untuk masa depan yang lebih cerah dan gemilang.
Dengan langkah-langkah yang diambil oleh Perdana Menteri, Malaysia kini berada di ambang kebangkitan semula sebagai sebuah negara yang dihormati, dikagumi, dan disegani di seluruh dunia. Syabas PMX! – Edisi 9