
HARI ini ratusan notifikasi muncul di garis masa media sosial mengenai pemergian seorang tokoh yang amat dihormati.
Bagi generasi muda, mungkin nama Prof. Muhd Kamil Ibrahim (MKI) tidak dikenali namun bagi yang lebih dewasa, beliau adalah seorang ilmuwan, pendidik dan tokoh agama yang telah meninggalkan kesan mendalam bagi dunia akademik dan kehidupan masyarakat.
Pemergian beliau malam tadi akibat kanser paru-paru bukan sahaja satu kehilangan besar dalam dunia pendidikan, tetapi juga meninggalkan legasi yang sangat besar kerana penulisan beliau yang sangat menyentuh hati dan perasaan.
Bagi generasi muda yang tertanya-tanya siapakah Muhd Kamil Ibrahim atau amat dikenali dengan singkatan nama MKI, beliau bermula sebagai seorang pensyarah perakaunan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), namun perjalanan beliau tidak hanya terhenti di situ.
Pada tahun 2011, beliau membuat keputusan berani untuk bersara awal demi mengejar impian yang lebih besar iaitu mengabdikan diri dalam dunia akademik di Madinah, Arab Saudi.
Tindakan berani beliau menunjukkan bagaimana seorang individu boleh mengubah nasib dan hidup dengan tujuan yang lebih tinggi, berlandaskan iman dan ilmu.

Di Madinah, Muhd Kamil bukan hanya seorang pendidik yang mengajar di Universiti Taibah tetapi juga seorang yang memberi sumbangan besar kepada pengembangan ilmu, menggabungkan antara pengetahuan duniawi dan rohani.
Kehidupan beliau selepas menunaikan ibadah haji menjadi titik perubahan yang mendalam dan di sinilah beliau menulis buku terkenal Travelog Haji: Mengubah sempadan iman.
Buku ini telah menjadi fenomena dan pernah menduduki carta jualan buku paling laris yang bukan hanya menceritakan pengalamannya, tetapi juga mengajak pembaca untuk merenung kembali makna hidup, pengabdian, dan perjuangan dalam mencapai kesejahteraan dunia dan akhirat.
Buku ini juga menjadi bacaan jutaan manusia dan boleh dikatakan sesiapa yang membacanya terkesan dengan perkongsian beliau yang lahir dari hati nuraninya sendiri.
Selain buku yang menjadi fenomena tersebut, beliau juga merupakan seorang penyelidik yang aktif. Artikel beliau yang melebihi 500 judul telah diterbitkan di jurnal dan media masa.
Muhd Kamil yang dilahirkan di Besut, Terengganu juga dikenali kerana kepakaran beliau dalam bidang perakaunan dan peranan beliau sebagai pensyarah di UiTM.
Namun lebih dari sekadar pengajaran akademik, beliau adalah seorang mentor yang menanamkan nilai moral dan keagamaan dalam setiap pelajarnya.
Pengajaran beliau mengutamakan keseimbangan antara ilmu duniawi dan kebijaksanaan rohani, menjadikan beliau seorang pendidik yang luar biasa di mata masyarakat.
Malah penulisan beliau sangatlah hebat sehingga melahirkan ramai mentee yang berjaya dalam bidang penulisan masing-masing pula.
Salah satu pencapaian yang membanggakan adalah usahanya menulis buku bersama seorang rakan pada tahun 2023, yang bertajuk Menuju Puncak – Kebahagiaan Dunia Akhirat.
Buku ini dilancarkan pada Januari tahun lalu dan menjadi legasi bersama yang ditinggalkan untuk ummah.
Muhd Kamil bukan sahaja seorang akademik, tetapi juga seorang yang sangat berfikiran jauh, berusaha untuk meninggalkan sesuatu yang lebih bermakna untuk generasi akan datang.
Walaupun beliau bukan dari latar belakang agamawan perubahan yang dibuat beliau menjadikan beliau sendiri dihormati dari kalangan pakar agama dan ilmuwan lain.
Keperibadian Muhd Kamil yang rendah hati dan penuh kasih sayang tidak hanya dihargai di kalangan keluarga, tetapi juga di kalangan rakan-rakan dan pelajarnya.
Pemergian beliau meninggalkan kekosongan yang mendalam, namun legasinya akan terus hidup dalam setiap individu yang terinspirasi oleh perjuangan dan ketekunan beliau.
Kehidupan beliau adalah contoh nyata bagaimana seseorang boleh menggabungkan ilmu dengan pengabdian, dan bagaimana kita boleh terus memberi sumbangan walau di penghujung perjalanan hidup.
Beliau sentiasa memuji isterinya, Raudzah Roslan dan pengikut setia beliau bagai semuanya mengenali ahli keluarga MKI kerana setiap penulisannya pasti melibatkan isteri dan anak-anak serta sahabat beliau kasihi.
Bagi keluarga Muhd Kamil, beliau adalah lebih daripada seorang ilmuwan dan pendidik.
Beliau adalah seorang ayah, suami, dan sahabat yang penuh kasih, yang sentiasa merendah diri dan mengutamakan kebaikan umat manusia.
Meskipun beliau kini tiada, kasih sayang dan pengajaran beliau akan terus hidup di hati setiap individu yang berpeluang mengenalinya.
Pemergian Muhd Kamil mengingatkan kita untuk terus berusaha hidup dengan tujuan, berkhidmat kepada masyarakat, dan tidak pernah lupa untuk mengutamakan keimanan dalam setiap langkah hidup.
Kita berharap agar legasi beliau terus diteruskan, dan semoga segala amal dan jasa beliau diterima oleh Allah SWT.
Al-Fatihah! – Edisi 9

