
Oleh DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
PEMERGIAN Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggalkan ruang yang sukar diisi dalam politik Sabah dan UMNO.
Bagi saya, kehilangan ini bukan sekadar hilangnya seorang tokoh politik, tetapi perginya seorang sahabat, panglima, dan manusia budiman yang pernah saya kenali sejak lebih dua dekad lalu.
Saya mengenali Allahyarham sejak tahun 2000, ketika beliau mula berkempen untuk bertanding dalam Majlis Tertinggi UMNO.
Ketika itu beliau Ahli Parlimen P187 Kinabatangan — lantang bercakap, tegas bertindak dan sudah memperlihatkan bakat kepimpinannya yang tersendiri.
Takdir pula mempertautkan hubungan kami lebih rapat apabila anak saudara beliau berkahwin dengan anak saudara saya.

Sejak itu, nama Bung tidak pernah jauh daripada perbualan keluarga dan sahabat.
Dua Watak Seorang Pemimpin
Bung Moktar adalah gambaran jelas seorang ahli politik yang menunggang dua watak dua “kuda” yang berbeza:
“Kuda yang layak ditunggang ke medan perang bukanlah kuda yang sama dibawa menari dalam majlis perkahwinan.”
Di medan politik, beliau keras, berani dan tidak gentar. Ketika berbahas atau berdepan lawan, beliau tampil sebagai panglima: lantang, tegas dan tidak pernah mengalah.
Namun, di sisi keluarga dan mereka yang rapat dengannya, Bung begitu lembut, penyayang, dan melindungi.
Mereka yang mengenalinya secara peribadi tahu betapa besarnya jiwa seorang lelaki yang sering digambarkan sebagai “kereta kebal” politik itu.
Sahabat Sejati Presiden UMNO
Persahabatan beliau dengan Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, terjalin sejak era 1990-an.
Ikatan itu bukan rapuh, tetapi sekuat baja. Bung seorang yang setia dalam erti sebenar, setia ketika susah dan senang.
Kami yang berada di belakang tabir politik tahu ramai kisah yang tidak pernah dicerita kepada umum: bagaimana beliau sanggup menepuk meja, meninggikan suara dan menutup pintu rapat-rapat demi mempertahankan Presiden dalam saat-saat paling mencabar.
Tidak hairan apabila Presiden UMNO sendiri menangis mengenang pemergian sahabat lamanya itu.
Tokoh Keluarga yang Dikasihi
Di sebalik ketegasan politiknya, Bung Moktar adalah sosok penuh kasih kepada keluarga.
Shaheizy Sam pernah menggambarkan beliau sebagai abang ipar terbaik tenang, melindungi dan sangat mengambil berat.
Wartawan hiburan pula sering merekodkan sisi lembut Bung melalui cerita Datin Seri Zizie Izette — sisi yang jarang diketahui umum, tetapi amat dihargai keluarga.
Kehilangan Besar Buat Sabah dan UMNO
Dengan pemergian Bung, UMNO kehilangan ‘kereta kebal’nya. Presiden UMNO kehilangan seorang rakan seperjuangan yang paling setia.
Penduduk Kinabatangan dan Lamag pula kehilangan pemimpin tempat mereka berpaut selama puluhan tahun.
Orang luar boleh berteori, mengkritik atau menghukum. Namun bagi saya — dan saya selalu ingatkan kepada anak saudara Bung — realitinya ialah:
Panglima seperti Bung Moktar tidak pernah kalah di hati rakyatnya. Mereka disayangi, bukan sekadar dipilih.
Mendoakan, Bukan Menghukum
Kini, Bung telah tiada. Dan kita diajar untuk mendoakan mereka yang mendahului kita, bukan mengungkit aib atau membawa permusuhan politik hingga ke liang lahad.
Ada insan yang dimuliakan ketika hidup, ada yang dimuliakan ketika mati, dan ada yang dimuliakan di akhirat kelak.
Pemergian Bung memberi peringatan bahawa setiap daripada kita akan menyusul. Semoga Allah mengurniakan keampunan, rahmat dan kemuliaan buat roh Allahyarham.
Semoga Allah SWT menempatkan Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan dikasihi.
Al-fatihah!
Dipetik daripada catatan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Setiausaha Agung UMNO dalam Facebook beliau. - Editor

