AHLI Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada 22 Oktober lalu.
Perkara itu diputuskan oleh Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet hari ini bagi tujuan penelitian selanjutnya selaras dengan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sejajar dengan keputusan tersebut, usul yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat akan disesuaikan bagi membolehkan perkara ini dirujuk secara rasmi kepada jawatankuasa berkenaan untuk dipertimbangkan mengikut aturan yang ditetapkan.
“Keputusan ini juga diambil setelah mengambil kira pandangan yang dibangkitkan semasa perbahasan di dalam Dewan Rakyat pada 4 Disember 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin berkata, Kerajaan MADANI percaya bahawa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan menjalankan penelitian dengan penuh tanggungjawab, kebebasan dan integriti, selaras dengan peranan yang telah diamanahkan kepadanya oleh Dewan.
“Kerajaan turut menegaskan bahawa Parlimen ialah sebuah institusi yang mulia dan berwibawa, justeru tidak wajar dijadikan medan untuk mana-mana Ahli Dewan bertindak sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah dan tohmahan yang boleh menjejaskan kewibawaan institusi perundangan negara,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI kekal komited untuk memelihara martabat Parlimen sebagai institusi tertinggi negara, serta memastikan setiap isu yang timbul ditangani secara berhemah dan berlandaskan amalan demokrasi berparlimen.
Pada 22 Oktober, Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) membangkitkan kebimbangan berhubung latihan yang didakwa dijalankan Maritim Malaysia di Masjid Rusila, Marang, Terengganu pada 29 September lalu yang disifatkan sebagai mengulangi peristiwa Memali 1985.
Beliau mendakwa, sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki Masjid Rusila tanpa kebenaran dengan memakai kasut, memasuki ruang solat wanita dan melakukan penggeledahan, dengan mendakwa mereka adalah polis.
Katanya, tindakan itu bukan sahaja menimbulkan ketakutan malah, menimbulkan keresahan dalam kalangan jemaah.
Bagaimanapun, Maritim Malaysia menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pasukan elit agensi itu terbabit latihan di masjid tersebut pada tarikh berkenaan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Rosli Abdullah sebaliknya berkata, pelatih pasukan berkenaan hanya melaksanakan ibadah di dalam masjid tersebut. — Edisi 9

