26.4 C
Kuala Lumpur
Wednesday, January 15, 2025

KKM keluar 214 notis kesalahan merokok di tempat dilarang

Mesti Baca

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan 214 notis kesalahan bernilai RM54,050 dalam satu operasi Penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di sekitar daerah Sepang, Selangor pada kelmarin dan semalam.

KKM berkata, daripada jumlah tersebut, 178 notis dikeluarkan kerana kesalahan di bawah Peraturan 11 iaitu 110 notis merokok di tempat makan, 48 notis di dalam mana-mana kawasan kompleks membeli belah dan 20 lagi di kawasan lapangan terbang.

Pada masa yang sama, sebanyak 34 notis dikeluarkan kepada pemilik premis bagi kesalahan di bawah Peraturan 12 iaitu 29 notis kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis dan lima lagi kerana gagal memastikan tiada orang merokok di premis masing-masing.

“Bagi kesalahan di bawah Peraturan 13(1) iaitu kesalahan merokok oleh orang belum dewasa, terdapat satu notis telah dikeluarkan.

“Bagi kesalahan di bawah Peraturan 14(1) iaitu kesalahan tidak mempamerkan tanda larangan menjual hasil tembakau kepada orang belum dewasa, terdapat satu notis telah dikeluarkan,” kata KKM menerusi Facebook hari ini.

KKM berkata, operasi penguatkuasaan itu menyasarkan tempat larangan seperti tempat makan, kompleks membeli belah, hentian pengangkutan awam, lapangan terbang dan stesen minyak.

Fokus utama, katanya, adalah kepada premis makan yang mana aduan paling banyak diterima.

Advertisements

Kementerian berkata, Ops Tempat Makan itu melibatkan 72 Pegawai Diberi Kuasa (PDK) daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Pejabat Kesihatan Daerah Sepang, Sektor Kawalan Tembakau, Bahagian Kawalan Penyakit dan Sektor Inspektorat dan Perundangan, Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam, KKM.

“KKM ingin menegaskan bahawa larangan merokok bukan bertujuan untuk menghukum golongan perokok tetapi ia dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat merokok kepada golongan perokok pasif iaitu mereka yang berada di sekeliling.

“Pengguna rokok elektronik atau vape juga boleh membahayakan orang di sekeliling berdasarkan kajian terkini yang dijalankan di peringkat antarabangsa,” kata kenyataan itu.

Pada masa yang sama, KKM sentiasa konsisten menjalankan aktiviti promosi dan advokasi kepada seluruh rakyat dengan bantuan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, agensi swasta, rakan sukarelawan, badan profesional, badan bukan kerajaan (NGO), universiti, persatuan-persatuan peniaga kedai makan dan peniaga kedai.

Selain itu, katanya, hebahan dan taklimat serta sesi penerangan turut diadakan oleh KKM dari masa ke masa untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya merokok termasuk penggunaan rokok elektronik atau vape.

“Perokok dan pengguna rokok elektronik atau vape adalah diseru untuk berhenti merokok mengikut kaedah rawatan yang diiktiraf oleh KKM. Pendaftaran ke perkhidmatan berhenti merokok mQuit boleh dibuat melalui laman sesawang www.jomquit.com,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan SARA disalur kepada 700,000 penerima mulai esok

DALAM usaha berterusan untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri...

Lagi Artikel Berkaitan